Emraz tunaikan semula impian umrah jemaah terkandas

Emraz tunaikan semula impian umrah jemaah terkandas

SEBAHAGIAN jemaah umrah kendalian Emraz yang berlepas ke Tanah Suci di Terminal 1, KLIA. Sepang. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Meskipun masih lagi dalam pelan pemulihan, ramai jemaah yang terkandas meluahkan kegembiraan dengan operasi umrah diurus Emraz Travel and Tours Sdn. Bhd.

Malah ketika ditemui di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, rata-rata mereka teruja dapat meneruskan impian untuk menunaikan ibadah itu di tanah suci.

Antaranya Amran Minhad, 37, penjawat awam yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan dan menunaikan ibadah sunat itu buat kali kedua bersama isterinya, Umayyah Osman.

“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar tanpa masalah besar bahkan pihak Emraz menaik taraf pakej bajet kami dengan sedikit caj tambahan,” katanya.

Pasangan tersebut merupakan sebahagian daripada 46 orang jemaah bagi trip keempat syarikat pengendalian umrah berpangkalan di Putrajaya itu yang berlepas ke Tanah Suci.

Mereka diiringi mutawwif berpengalaman, Syed Mokhsin Syed Mohamed menaiki pesawat Saudi Airlines penerbangan SV831 ke Madinah untuk umrah dan ziarah selama 10 hari.

Emraz yang digantung oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) selama enam bulan mulai 10 Julai lalu namun tetap dibenar melaksanakan pelan pemulihannya.

Seorang lagi jemaah, Amidi Abdul Salam, 41, pekerja swasta tinggal di Kajang, Selangor juga melahirkan kesyukuran walaupun trip penerbangan asal tertangguh pada Mei lalu.

“Memang ada dengar macam-macam isu mengenai Emraz namun kami yakin dengan imej amat baik dari syarikat ini,” katanya yang pergi dengan isterinya sekali, Sofia Syamin.

Dia berpendapat, masalah dialami Emraz itu sebenarnya terkawal kerana banyak agensi umrah lain yang langsung terpaksa menutup operasi susulan pelbagai isu luar kawalan.

Sebaliknya Emraz dilihat lebih bertanggungjawab dan tidak ‘lepas tangan’ membiarkan pelanggan begitu sahaja serta tetap menerbangkan jemaah biarpun jadual agak terlewat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN