PADANG BESAR: Sumber air di Empangan Timah Tasoh di sini berpotensi tercemar dengan kandungan fosforus yang tinggi dan berupaya mengundang pelbagai risiko jika tiada langkah pencegahan awal diambil.
Pencemaran tersebut boleh berlaku disebabkan sumber air yang dibawa dari Sungai Jarum, Titi Tinggi dan Sungai Timah, Kaki Bukit.
Empangan Timah Tasoh berkeluasan 20 kilometer persegi itu mampu menampung air sebanyak 40 juta meter padu dan ia berfungsi sebagai sumber bekalan air domestik, pertanian dan kawalan banjir.
Difahamkan 50 peratus atau lebih punca air mentah Perlis adalah daripada Timah Tasoh.
Ia dikesan hasil kajian awal di lapangan oleh bekas Profesor Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Maketab Mohamed bersama bekas pengajar luar Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kementerian Kesihatan, Halim Ismail sejak dua bulan lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Maketab berkata, menerusi kajian itu, empangan berkenaan dikesan mempunyai kandungan fosforus yang tinggi dan mampu membawa kesan kepada pengguna.
Bagaimanapun katanya, pada masa ini, keadaan di empangan tersebut masih terkawal namun dikhuatiri keadaan menjadi teruk kelak sekiranya tiada langkah-langkah pencegahan diambil.
“Kewujudan fosforus di empangan berkenaan adalah berpunca daripada hasil sumber air dua sungai berkenaan yang tercemar dengan sisa domestik (manusia), sisa penternakan haiwan (lembu dan ayam), baja pertanian (padi, getah, sawit dan sebagainya), air sisa industri dan lain-lain.
“Apabila air daripada dua sungai tersebut dibawa dan bertakung di empangan berkenaan, nutrien N (nitrat) dan nutrien P (fosfat) tidak mengalir keluar dan menyebabkan terkumpul di dalam empangan berkenaan,” katanya.
Maketab yang juga bekas Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berkata, kandungan fosforus yang tinggi itu boleh menyebabkan kewujudan algal bloom dan lumut tertentu seperti cyanobacteria.
Katanya, sekiranya situasi itu berlaku, keadaan sumber air menjadi busuk malah oksigen di dalam air juga akan menurun sehingga menyebabkan kematian hidupan akuatik (hypoxia).
Jelasnya, cyanobacteria juga mengandungi toksin yang secara terus boleh membunuh ikan dan menyebabkan keracunan kepada manusia.
“Berdasarkan kajian dilakukan, kita juga mendapati tahap kebarangkalian pencemaran sumber air di empangan itu pada masa ini berada pada tahap eutrophic (teruk),” katanya.
Katanya, hasil kajian yang dijalankan masih berterusan dan sampel air akan dihantar ke makmal untuk tujuan analisis bagi mendapatkan bacaan ujian berkenaan secara terperinci.
“Ini merupakan hasil kajian awal yang kita lakukan dan disebabkan itu kita cadangkan agar langkah pencegahan awal dapat dilaksanakan segera oleh pihak berwajib sebelum ia tidak terkawal,” katanya. – UTUSAN










