DUN boleh guna pakai Kod Etika Dewan Rakyat - Wan Junaidi - Utusan Malaysia

DUN boleh guna pakai Kod Etika Dewan Rakyat – Wan Junaidi

WAN Junaidi Tuanku Jaafar bercakap dalam sidang akhbar di Studio TVS, di Kuching, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh membuat keputusan sama ada untuk menerima pakai Kod Etika yang bakal dilaksanakan dalam sidang akan datang.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang tersebut dibuat untuk guna pakai Dewan Rakyat bagi peringkat Ahli Parlimen.

“Apabila Parlimen melaksanakannya, ia khusus untuk Parlimen sahaja, DUN itu boleh kalau mereka mahu. Itulah yang berlaku untuk undang-undang lompat parti.

“Banyak negeri masih belum melaksanakan undang-undang itu. Jadi orang masih melompat kiri kanan, sebab kita nak menghormati kebebasan dan hak bidang kuasa DUN itu sendiri.

“Perlembagaan Persekutuan itu mengiktiraf kewujudan Perlembagaan Kerajaan Negeri. Jadi, walaupun kita ada kuasa, tetapi kita tidak mahu memaksa.

“Kita menghormati kebebasan dan hak bidang kuasa bagi DUN masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan proses pengenalan kepada Kod Etika itu akan mengambil masa kerana beberapa perbincangan dan persetujuan perlu dilakukan bersama Pejabat Peguam Negara (AGC) dan juga Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

“Oleh kerana proses itu sendiri, saya akan mengadakan mesyuarat bersama dan kita buat persetujuan dan kita kena jemput wakil dari AGC untuk bersama kita berbincang, baru selepas tu proses dia lagi satu kita kena berbincang dengan ahli-ahli Parlimen yang lain juga, itu Jawatankuasa Pilihan Parlimen punya tugas.

“Jadi tugas jawatankuasa itu adalah untuk kaji semua benda ni, bahkan kita mungkin terpaksa menjemput pakar-pakar dalam bidang ini – yang terdiri daripada pensyarah universiti dan sebagainya, supaya tiada perkara yang tidak sesuai dilaksanakan,” tambahnya.

Tegas Wan Junaidi, perkara yang dicadangkan itu perlu mendapat persetujuan sebulat suara.

“Ini kerana saya tidak mahu hanya ikut naluri Wan Junaidi seorang, tujuannya bukan untuk saya tetapi untuk semua, kerana lebih ramai sokongan lebih bagus. Ia merupakan proses agak panjang tetapi itu kita kena mulakan dulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN