Denggi di Perlis masih membimbangkan, 32 kes minggu lalu - Utusan Malaysia

Denggi di Perlis masih membimbangkan, 32 kes minggu lalu

MEGAT HASHIRAT HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kes demam denggi di Perlis masih membimbangkan di mana sebanyak 32 kes dilaporkan bagi tempoh bermula dari 2 hingga 8 Julai lalu.

Walaupun terdapat penurunan 16 kes berbanding minggu sebelumnya, namun jumlah kumulatif yang dilaporkan sehingga 8 Julai adalah sebanyak 475 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, jumlah itu juga menunjukkan peningkatan 2,538.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2022 yang merekodkan hanya 18 kes.

“Sehingga 8 Julai lalu juga, sebanyak dua kematian demam denggi dilaporkan di Perlis,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Megat Hashirat berkata, sehingga 8 Julai lalu, sebanyak 45 lokaliti wabak telah dikenal pasti di mana 14 daripadanya masih aktif.

Katanya, terdapat satu lokaliti hotspot denggi turut dikenal pasti iaitu di Taman Jali yang merekodkan 16 kes manakala terdapat tiga lokaliti wabak tidak terkawal iaitu di Felcra Lubuk Sireh (16 kes), Taman Melati Indah (6 kes) dan Taman Kemajuan (10 kes).

“Sebanyak dua lokaliti wabak baru dilaporkan sepanjang minggu lepas iaitu di Taman Ira dan Taman Emas.

“Manakala empat mukim menunjukkan beban kes terbanyak iaitu mukim Titi Tinggi (112 kes), Mukim Kuala Perlis (89 kes), Mukim Utan Aji (81 kes) dan Mukim Sena (52 kes),” katanya.

Dalam pada itu, Megat Hashirat berkata, setakat 8 Julai lalu, sebanyak 165 notis kompaun turut dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 ke atas pemilik premis yang mempunyai pembiakan nyamuk aedes.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar dapat mengambil tanggungjawab bagi bersama-sama membantu mencegah penularan wabak demam denggi di negeri ini.

“Sekiranya rumah atau premis anda didapati mempunyai pembiakan nyamuk Aedes, tindakan denda boleh dikenakan sebanyak RM500 mengikut APSPP 1975,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya