Lebih enam bulan dah, pakat-pakat ‘move on’

Lebih enam bulan dah, pakat-pakat ‘move on’

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lebih enam bulan, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan sering kali itu, baginda menekankan soal mengekalkan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekurang-kurangnya hingga tamat penggal.

Dalam titah sempena perasmian penggal persidangan keempat DUN Perlis ke-15 kelmarin, Tuanku Syed Sirajuddin sekali lagi mengingatkan supaya tidak berlaku kacau-ganggu dengan memberi ruang kepada Abu Bakar memimpin kerajaan negeri sehingga akhir penggal.

Baginda bertitah, setiap Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) perlu meletakkan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi seterus­nya menyeru seluruh wakil rak­yat memberikan kerjasama erat dan berterusan kepada Menteri Besar bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Ironinya, tidak sampai beberapa jam selepas titah tersebut, Ketua Pemuda Pas negeri merangkap ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun tidak semena-mena tampil dengan kenyataan membangkitkan kekesalan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa berterusan menafikan peranan ADUN mereka dalam usaha merancang menjatuhkan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Ia secara tidak langsung membuka kembali ruang kepada perdebatan, serang-menye­rang dan saling bermusuhan antara Pas serta Bersatu yang berada dalam satu gabungan.

Kemelut politik Perlis itu sepatutnya sudah reda dengan sebaik-baiknya masing-masing sudah boleh fokus ke depan dalam bersama-sama memba­ngunkan negeri. Isu yang berlarutan itu, hanya menyebabkan rakyat menjadi muak.

Masing-masing menuding jari siapa salah dan siapa benar dalam isu di Perlis. Hakikatnya kebenaran sebenar tidak siapa tahu kerana masing-masing ha­nya mahu percaya kepada perkara yang hendak mereka percaya sahaja.

Jadi, ‘move on’ sahaja. Sudah lebih enam bulan kemelut politik di Perlis dan sampai bila hendak biarkan ia terus berlarutan.

Mohd. Shukri sudah melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar atas faktor kesihatan yang kemudian menyaksikan Abu Bakar dipilih sebagai Menteri Besar atas perkenan Raja Perlis.

Malah, Bersatu juga sudah berulang kali menegaskan tidak ada sebarang unsur pengkhia­natan dalam soal pelantikan Abu Bakar sebagai Menteri Besar sebaliknya mereka menye­rahkan sepenuhnya kepada ke­bijaksanaan dan budi bicara Tuanku Syed Sirajuddin.

Pemerintahan kerajaan PN kini sudah hampir memasuki lima tahun, jangan buang masa lagi. Fokus soal pembangunan, kesejahteraan serta kemakmuran rakyat.

Lebih malang, kemelut di Perlis bukan melibatkan sera­ngan antara pembangkang dan parti kerajaan sebaliknya sesama sendiri.

Ketepikan seketika soal kedudukan politik, tiba masa pilihan raya, berentaplah se­puas hati.

Ketika ini, berilah peluang dan ruang kepada Abu Bakar memimpin negeri sebagai Menteri Besar.

Nasihat Abu Bakar kepada Haziq, beristiqamah dan fikirkan strategi untuk memenangi pilihan raya, bukannya ‘score gol’ sendiri. Rugi kita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN