Dari sekolah gengster ke kluster

Dari sekolah ‘gengster’ ke kluster

SMK Aminuddin Baki kini menjadi rebutan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka belajar di sekolah ini. -MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai tidak tahu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di sini ketika penubuhannya pada tahun 1959 bukanlah sebuah institusi yang dikenali disebabkan pencapaian cemerlang akademiknya.

Sebaliknya sekolah itu lebih dikenali kerana ‘kenakalan’ pelajarnya.

Bagaimanapun, transformasi pendidikan bersandarkan prinsip pelajaran panduan hidup yang diterapkan dalam kalangan pelajar-pelajarnya berjaya membuahkan hasil. Kini, ia menjadi rebutan dalam kalangan warga kota untuk menempatkan anak-anak mereka di sekolah berkenaan.

Stigma tersebut bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana berdasarkan rekod lampau SMK Aminuddin Baki mula dikenali selepas menjadi perintis kepada beberapa program kerajaan.

Antaranya, Sekolah Kawalan pada tahun 1987, sekolah perintis Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (1998), perintis sekolah pintar (1999), Sekolah Projek Rintis Sumber Persiaran Terbuka (2006), Sekolah Kluster (2007) dan Sekolah Berprestasi Tinggi (2010).

Menceritakan pengalamannya kepada Utusan Malaysia sepanjang bersekolah di SMK Aminuddin Baki bermula tahun 1970 sehingga 1973, Datuk Hasan Nawawi berkata, sekolah tersebut berhadapan dengan masalah disiplin disebabkan oleh pelajar setempat.

Bagaimanapun, beliau yang dikenali atas pencapaiannya mengelilingi dunia dengan berbasikal secara solo selama 13 bulan pada tahun 2001 hingga 2002 berkata, pelajar setempat hanya mewakili sekitar 20 peratus daripada keseluruhan warga SMK Aminuddin Baki.

“Kebanyakan pelajar yang dikenali sebagai ‘samseng’ pada zaman itu adalah melibatkan pelajar setempat namun masalah ketika itu hanya melibatkan isu disiplin seperti rambut panjang, merokok, warning dan gaduh.

“Tetapi, pelajar yang sebegitu hanya dalam 10 ke 20 orang sahaja, bukan membabitkan keseluruhan pelajar sekolah atau pelajar setempat,” katanya.

SMK Aminuddin Baki meraih pelbagai pencapaian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya meraih dua emas dan satu perak dalam pertandingan International Applied Physics Olimpiad 2022. -MINGGUAN/ SHIDDIEQIIN ZON

Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang itu berkata, masalah tersebut berjaya diatasi oleh pihak sekolah dengan baik dengan menerapkan pelbagai kegiatan kokurikulum seperti Kadet Polis dan sebagainya.

“Nak dijadikan cerita, pada tahun 1970, kerajaan memperkenalkan Kadet Polis di lapan sekolah dalam Kuala Lumpur sebagai perintis terutamanya untuk mengatasi isu perkauman seperti yang berlaku pada 13 Mei (1969).

“Secara tak langsung ia meningkatkan kualiti disiplin pelajar di SMK Aminuddin Baki kerana sekolah kami terpilih sebagai perintis Kadet Polis di negara ini,” katanya.

Cikgu tegas mendidik pelajar

Sementara itu, pengarah dan penerbit tersohor negara, Datuk Yusof Haslam yang bersekolah di SMK Aminuddin Baki pada tahun 1971 hingga 1972 berkata, selain pengenalan terhadap Kadet Polis, guru-guru di sekolah tersebut juga memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar yang berjaya dalam bidang bahkan cemerlang dalam kehidupan.

“Cikgu dulu-dulu semuanya tegas dalam mendidik pelajar. Ada masa saya sendiri pernah kena sepak (penampar) hanya kerana enggan potong rambut, tapi kita faham mereka mahu menjadikan kita lebih berdisiplin,” katanya.

YUSOF HASLAM

Beliau berkata, ketika zamannya belajar di SMK Aminuddin Baki, antara masalah disiplin yang kerap berlaku adalah kes ponteng, gaduh, merokok dan berambut panjang.

“Disiplin yang diterapkan guru-guru dulu menjadikan ramai pelajar dan rakan-rakan saya di SMK Aminuddin Baki berjaya dalam pelbagai bidang dan sangat berdisiplin,” katanya.

Antara nama-nama besar yang bersekolah di SMK Aminuddin Baki ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani; ahli politik veteran, Tan Sri Noh Omar; Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail dan ramai lagi.

Seorang lagi bekas pelajar SMK Aminuddin Baki iaitu Timbalan Presiden Alumninya, Datuk Dr. Dev Anand berkata, sepanjang tujuh tahun berada di sekolah tersebut dari tahun 1985 hingga 1991, institusi itu sangat berdaya saing apabila menjadi sekolah campuran lelaki dan perempuan.

Beliau yang memiliki syarikat perkhidmatan keselamatan berkata, tahap pembelajaran di sekolah tersebut mula menampakkan kemajuan dan peningkatan ketara berbanding sebelumnya.

“Ketika itu saya berada di tingkatan empat apabila sekolah mula menerima masuk pelajar perempuan. Persaingan dalam pembelajaran meningkat sehinggakan keputusan pelajar juga semakin baik.

“Kemudiannya SMK Aminuddin Baki dipilih sebagai Sekolah Kawalan dan ia meningkatkan lagi pencapaian akademik di sekolah berkenaan sehingga dikenali,” katanya.

Kokurikulum tingkat kualiti pelajar

Sementara itu, bekas Pengetua SMK Aminuddin Baki bermula tahun 2014 hingga 2020, Siti Sarimah Shaik Abd. Rahman berkata, ketika beliau mengepalai sekolah tersebut, guru-guru, pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni sekolah memainkan peranan penting dalam meneruskan legasi institusi tersebut sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

Jelasnya, kerjasama diberikan semua pihak berjaya mengubah sekolah tersebut sebagai Sekolah Kecemerlangan.

“Dalam meningkatkan kualiti pelajar, sekolah memperkenalkan pelbagai kokurikulum sebagai contoh sukan renang dan bahasa Inggeris dalam pembelajaran matematik dan sains.

“Sekolah juga bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Australia untuk menyediakan ujian berbahasa Inggeris kepada pelajar yang mahu supaya sijilnya boleh digunakan jika mahu menyambung pelajaran ke luar negara,” katanya.

Menurut beliau, SMK Aminuddin Baki juga melahirkan pelajar berkualiti tinggi dalam bidang sukan terutamanya renang apabila ada yang mewakili ke peringkat Sukan Malaysia (Sukma).

Pada tahun 2015, SMK Aminuddin Baki dinobatkan sebagai juara keseluruhan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur (MSSKL) dalam sukan renang.

Tidak hanya cemerlang dalam akademik, SMK Aminuddin Baki juga turut dikenali dalam kokurikulum apabila meraih beberapa pencapaian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya meraih dua emas dan satu perak dalam pertandingan International Applied Physics Olimpiad 2022.

Selain itu, sekolah ini turut mendapat pengiktirafan daripada Shell Malaysia apabila diumumkan sebagai penerima Most Outstanding Team-Merit Award (International), Shell Nxplorers pada tahun 2021.

Kejayaan lain adalah menjuarai pertandingan Malaysia 4V4 UWH Tournament anjuran Malaysia Underwater Hockey Association, Disember 2021 dan sebagainya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN