PETALING JAYA: Penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih padi supaya menghasilkan 300 hingga 400 biji dalam satu tangkai adalah antara usaha yang perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan pendapatan pesawah dan keterjaminan makanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd. Fuad Yaacob berkata, Malaysia mempunyai tanah yang terhad yang mana banyak kawasan sawah kini dibangunkan kilang dan kawasan perumahan.
“Kerajaan perlu memainkan peranan membuat kajian memperbanyak benih padi supaya pesawah dapat tingkatkan hasil lebih-lebih lagi sebelum tibanya musim tengkujuh.
“Bendang kini semakin mengecil dan berkurang. Dengan kajian dan idea ini, kami percaya hasil pengeluaran tanaman padi dapat ditingkatkan pada masa akan datang sekali gus membantu menambah pendapatan pesawah,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, kerajaan dilaporkan memerlukan RM3 bilion bagi meningkatkan infrastruktur tanaman padi di negara ini termasuk dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi menambah pendapatan pesawah dan keterjaminan makanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai program direncanakan antara Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun yang sudah dilaksanakan projek rintisnya sebelum ini.
Sementara itu, menurut Mohd. Fuad berharap peningkatan infrastruktur tanaman padi disegerakan pelaksanaannya kerana mendakwa terdapat sejarah yang mana peruntukan yang diumumkan tidak sampai kepada pihak-pihak terlibat.
“Macam sebelum ini umum peruntukan tapi tidak sampai. Saya harap lepas ini sampailahperuntukan kepada pesawah dan pihak berkenaan.
“Infrastruktur sangat penting dalam pertanian lebih-lebih lagi pesawah macam kami, untuk menghasilkan pengeluaran yang tinggi dan meningkat dari hari ke hari. Hasil berkurang kerana infrastruktur yang tidak mencukupi,” katanya. – UTUSAN











