Bertindak segera atasi banjir kilat di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Bertindak segera atasi banjir kilat di Pulau Pinang

CAP menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda negeri itu.

Presiden CAP, Mohideen Abd Kader berkata, kejadian banjir kilat itu telah berulang kali berlaku sejak beberapa tahun lalu, namun masalah tersebut masih berlarutan sehingga kini, malah dilihat menjadi semakin serius.

”Baru-baru ini, kira-kira 10 kawasan melibatkan taman perumahan dan kampung di negeri ini telah diancam banjir kilat dan menjejaskan kehidupan penduduk termasuk para pengguna jalan.

”Dalam tinjauan, kami mendapati kemungkinan punca kejadian ini adalah akibat pelaksanaan projek pembangunan dan kemusnahan hutan semula jadi yang menjadi tempat tadahan air ketika hujan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

MOHIDEEN ABDUL KADER

Menurut Mohideen, selain itu, sistem saliran yang sempit dan tidak diuruskan dengan baik juga menyebabkan ia tidak mampu menampung pengaliran air ketika hujan dari bukit-bukit yang diteroka dan tersekat oleh mendapan lumpur dan sampah-sarap.

“Masalah ini menjadi bertambah buruk kerana sistem saliran dan sungai gagal berfungsi dengan berkesan.

”Parit serta longkang dipenuhi semak-samun dan pelbagai bahan buangan manakala sungai dan muara sungai menjadi cetek akibat hakisan tanah,” katanya.

Tambah Mohideen, pihaknya percaya jika punca-punca tersebut dibiarkan boleh menjejaskan aktiviti harian dan ekonomi penduduk setempat.

“Malah, ia boleh mengancam keselamatan mereka serta menyebabkan kerugian yang besar akibat kerosakan harta benda.

”CAP berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membenarkan pemaju sewenang-wenangnya memusnahkan hutan dan meneroka bukit di negeri ini tanpa mengambil kira kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan,” katanya.

Selain itu, Mohideen berkata, demi masa depan yang lebih selamat daripada sebarang bencana, projek pembangunan yang boleh menyumbang kepada banjir kilat dan mengancam alam sekitar wajar dikaji semula dan dihentikan pelaksanaannya dengan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya