Bayi lelaki 6 bulan maut dalam jagaan pengasuh

Bayi lelaki 6 bulan maut dalam jagaan pengasuh

PATRICIA Lau Hui Ling (kiri) bersama suaminya, Chew Chin Siong (tengah) menunjukkan gambar anak mereka, Chew Hau Xuan yang berusia enam bulan sebelum meninggal dunia di rumah pengasuh dan Syed Othman Abdullah (kanan) menunjukkan salinan laporan polis pada sidang media di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri menuntut pembelaan berhubung kematian anak bongsu mereka berusia 6 bulan ketika berada di bawah jagaan pengasuh, 15 Julai lalu.

Ibu mangsa, Patricia Lau Hui Ling, 32, berkata, kejadian itu dimaklumkan pihak pengasuh kepadanya melalui panggilan telefon pada pukul 12.58 tengah hari.

Menurut Patricia, dia menghantar mangsa ke rumah pengasuh yang berjarak kira-kira 15 minit daripada kediamannya di Permas Jaya di sini, pada pukul 7.30 pagi, sebelum terus ke Singapura untuk bekerja.

“Tiga daripada empat anak saya dihantar ke rumah pengasuh itu sejak Mac lalu. Selepas menghantar mereka saya terus memasuki Singapura untuk bekerja sebagai seorang kerani di syarikat swasta di sana.

“Kemudian pada pukul 12.58 tengah hari, pengasuh menelefon dan memaklumkan bahawa anak saya mengalami sesak nafas. Saya terus menghubungi suami yang masih di rumah ketika itu untuk bergegas ke tempat pengasuh.

“Suami saya beritahu, setibanya dia di tempat pengasuh, anak saya diletakkan di atas but sebuah kenderaan di hadapan kediaman pengasuh, dan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Permas Jaya, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Cinta Malaysia, Syed Othman Syed Abdullah.

Tambah Patricia, suaminya, Chew Chin Siong, 33, kemudian membawa anak mereka ke hospital swasta sebelum dimaklumkan bahawa bayi lelaki berkenaan telah meninggal dunia.

Sementara itu, Chin Siong pula mempersoalkan tindakan pengasuh yang tidak terus menghantar anak mereka ke klinik berhampiran, sebaliknya hanya menunggu kehadiran ambulans yang dikatakan lambat.

“Mereka sepatutnya terus menghantar anak kami ke klinik berhampiran apabila melihat bibir dan tangannya sudah menjadi kebiru-biruan, tetapi sebaliknya mereka hanya menunggu tanpa membuat apa-apa.

“Kami juga telah membuat dua laporan polis berhubung perkara ini, iaitu masing-masing pada 15 Julai dan 20 Julai bagi mendapatkan laporan tentang punca kematian anak kami,” ujarnya yang merupakan seorang kontraktor di Singapura.

Tambah Chin Siong, pihak keluarga akan mengambil tindakan selanjutnya selepas menerima maklumat tentang laporan bedah siasat yang dijalankan pihak Hospital Sultan Ismail.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Polis sedang menunggu keputusan bedah siasat mangsa, namun buat waktu ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi pemberita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN