UMNO berdepan sindrom penafian

UMNO berdepan sindrom penafian

REAKSI Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh semasa Majlis Penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengakui parti itu berdepan satu ‘penyakit’ yang disifatkan sebagai sindrom penafian.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kegagalan dalam beberapa pilihan raya lalu tidak seharusnya dipandang ringan hanya dengan keyakinan bahawa kemenangan akan kembali tanpa sebarang pembetulan yang jelas dalam pendekatan parti.

Katanya, sikap menafikan kekalahan tanpa sebarang perubahan hanya akan menyebabkan parti itu terus mengulangi kesilapan sama.

“Hari ini kita kena mengaku UMNO ada penyakit sindrom penafian. Bila kita kalah, kita tetap kata tidak mengapa, nanti kita akan menang. Tetapi hakikatnya kita tidak buat apa-apa perubahan.

“Kita kalah dua kali dan masih menganggap keadaan itu biasa kerana yang penting hari ini kita berada dalam kerajaan,” katanya berucap pada Sesi Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 semalam.

Muhamad Akmal berkata, kedudukan dalam kerajaan serta pelbagai jawatan disandang ke­pimpinan UMNO tidak wajar dijadikan alasan parti berasa selesa sekiranya sentimen rakyat tidak berubah.

Katanya, pemberian bantuan dan pelbagai inisiatif tidak semestinya menjamin kemenangan pilihan raya sekiranya pendekatan politik tidak berubah.

“Hari ini kita mempunyai menteri, timbalan menteri, ke-tua menteri dan menteri besar yang bekerja keras, persoalan-nya, adakah kerja keras itu dirasai rakyat?

“Saya tidak menafikan prestasi menteri-menteri kita yang bekerja kuat dan melaksanakan pelbagai usaha untuk rakyat. Perlu diingatkan sebelum kita tewas dahulu, pelbagai perkara telah kita buat untuk rakyat tetapi akhirnya kita tetap kalah dalam pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN