Bagaimana pencuri REE naik ke Kompartmen 12

Bagaimana pencuri REE naik ke Kompartmen 12, Saifuddin tanya Sanusi

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL dan MUHAMMAD SANUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mustahil untuk mana-mana pihak memasuki Kompartmen 12 di Bukit Enggang, Sik dan membawa keluar unsur nadir bumi (REE) dari tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) tanpa pengetahuan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sesiapa sahaja yang mahu ke lokasi kecurian itu perlu melalui empat pagar keselamatan yang kesemuanya berpengawal. 

Justeru katanya, tidak mungkin pencuri mineral terbabit dapat melepasi pagar-pagar tersebut sekiranya mereka tidak diberi kebenaran oleh MBI untuk sampai ke lokasi kejadian.   

“Tiga hari lepas saya ditemani Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh naik ke lokasi kecurian. Tanah itu milik MBI dan logiknya, siapa yang letak kawalan di situ kalau bukan MBI.

“MBI kemudian beri hak kepada Jaentique Sdn. Bhd. yang berikan pula kepada Mahir Binari Sdn. Bhd. Jadi siapa yang curi dan biarkan kecurian ini berlaku? Mereka ini syarikat yang diberi kebenaran dan memang dalam pengetahuan MBI,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Kedah di sini, hari ini. 

Tambahnya, selepas hampir dua tahun kecurian itu berlaku, mustahil untuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Pengerusi MBI tidak diberi taklimat mengenai perkara tersebut. 

“Mustahil sama sekali beliau tidak tahu melainkan kerjanya berpolitik 24 jam hingga tak tahu apa yang berlaku di bawah. Itu sesuatu yang malang jika benar-benar berlaku. 

“Lokasi kecurian itu hanya boleh diakses setelah melepasi empat pintu pagar keselamatan dan yang jelas, ada pengawal di situ. Jadi macam mana REE ini boleh dibawa keluar hingga beratus guni,” soalnya. 

Beliau dalam pada itu sekali lagi menzahirkan rasa terkilan terhadap Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Kedah kerana langsung tidak membuka kertas siasatan terhadap kecurian melibatkan 360 guni mineral itu pada 31 Januari lalu. 

Mengulas lanjut beliau berkata, apa yang berlaku menunjukkan Muhammad Sanusi tidak kompeten dan gagal mengawasi agensi di bawahnya. 

Selain itu kata Saifuddin, kejadian itu berpunca daripada ketidakupayaan kerajaan negeri untuk mengawal selia isu berkenaan dengan cekap. 

“Tak boleh memberikan kompartmen hutan simpan kepada pihak tertentu kemudian dilantik syarikat, cuci tangan dan terpulang kepada syarikat itu nak buat apa sambil menyatakan itu bukan tanggungjawab kita. 

“Setelah kejadian itu diketahui buat kali pertama, kerajaan negeri harus lebih proaktif dengan setidak-tidaknya menubuhkan jawatankuasa khas dan menjemput agensi penguatkuasaan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berbincang tetapi itu tidak berlaku,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, siasatan terhadap kecurian REE akan diteruskan tanpa mengambil kira apa jua keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana kejadian terbabit bukanlah isu yang dimainkan untuk menghadapi pilihan raya berkenaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN