ARAU: Tan Sri Annuar Musa yang menyertai Pas berkemungkinan tersenarai sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan.
Bagaimanapun, terserah kepada perhubungan Pas negeri itu sama ada menyenaraikan bekas pemimpin kanan UMNO itu atau sebaliknya untuk proses tapisan Majlis Syura Ulama dijadual pada Jumaat ini.
Selain itu, jika bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar ingin menyertai Pas, parti itu juga tidak mempunyai masalah mempertimbangkan beliau sebagai calon dalam PRN.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, nama Annuar antaranya mungkin berada dalam senarai calon yang bakal dikemukakan kepada Majlis Syura Ulama untuk tapisan.
Katanya, senarai calon bakal dikemukakan oleh perhubungan Pas negeri masing-masing.
“Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengemukakan tiga nama calon untuk kita (Majlis Syura Ulama) pertimbangkan. Kita akan lihat kelayakan setiap calon yang bakal dikemukakan itu.
“Majlis Syura akan meneliti setiap calon yang bakal dikemukakan itu sebelum mempertimbang memilih mereka yang benar-benar layak untuk bertanding dalam PRN di enam negeri itu,” katanya.
Annuar yang juga Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) sah menyertai Pas dengan perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang, baru-baru ini.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu juga dilaporkan berkata, beliau tidak kisah tidak bertanding asalkan UMNO tidak menang.
Kata Annuar, jika diberikan mandat untuk bertanding, beliau perlu berbincang dengan pucuk pimpinan Pas bagi mengetahui tujuan beliau diamanahkan berbuat demikian.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia juga melaporkan, tidak terlibat dengan dosa-dosa besar serta berakhlak antara kriteria dan keutamaan calon Pas yang bakal dipilih bertanding di 126 kerusi DUN dalam PRN membabitkan enam negeri.
Rundingan kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi PRN enam negeri akan datang telah dimuktamadkan dengan gabungan itu akan bertanding di semua 245 kerusi DUN, melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu.
Pas akan bertanding di 126 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 83 kerusi dan Gerakan (36 kerusi). – UTUSAN










