Amanah Kuala Langat tolak Hasnul di Morib - Utusan Malaysia

Amanah Kuala Langat tolak Hasnul di Morib

Morib
HASNUL BAHARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Meskipun sudah berkhidmat selama dua penggal dan menjadi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hasnul Baharuddin ditolak daripada terus dicalonkan bagi kerusi DUN Morib.

Ketua Amanah Kawasan Kuala Langat, Mohd. Safiee Harun berkata, pimpinan bersama sayap dan akar umbi parti di kawasannya itu menolak pencalonan semula Hasnul sebagai wakil Pakatan Harapan (PH) di Morib pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kami menegaskan penolakan ini kerana beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib selama dua penggal dari 2013 hingga 2023. 

“Kami berpendirian parti perlulah menampilkan muka baru yang lebih segar dan berwibawa dalam menggalas tanggungjawab membela rakyat, lebih-lebih lagi suasana politik negara yang berubah kepada trend politik baru yang lebih terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kawasan bukanlah hak mutlak individu tertentu untuk terus bertanding sehingga menafikan bakat kepimpinan individu lain untuk diketengahkan bagi memberikan khidmat buat rakyat. 

Dalam pada itu beliau memaklumkan kesemua sayap parti kawasan tersebut yakin rakyat hanya memberikan peluang kepada seseorang wakil rakyat berkhidmat khususnya di Morib maksimum dua penggal sahaja.

“Rakyat pastinya mahukan sentuhan keprihatinan dan idea wakil rakyat yang baru yang lebih prihatin dan efisien. Kami juga yakin parti ini tidak ketandusan pelapis kepimpinan yang berkaliber yang mampu menjadi pemimpin dengan lebih baik. 

“Ruang dan peluang perlu diberikan kepada calon muka baru bagi dipertaruhkan di N53 Morib,” ujarnya.

Hasnul sebelum ini menjadi ADUN Morib kali pertama mewakili Pas pada 2013 selepas menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN) Hasiman Sidom dengan majoriti 766 undi.

Pada PRU14, beliau mewakili Amanah bersama PKR menewaskan Rozana Kamarulzaman (BN) dan Mohammad Sallehuddin Hafiz (Pas) dengan majoriti 2,117. Meskipun majoritinya meningkat namun peratusan sokongannya menurun daripada 51.31 peratus kepada 40.43 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya