Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah kediaman kondusif untuk pembeli rumah pertama - Utusan Malaysia

Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah kediaman kondusif untuk pembeli rumah pertama

MOHD. ANNUAR Zaini (empat dari kanan) bersama Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman (dua dari kanan) ketika menghadiri majlis pelancaran pangsapuri Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah yang diadakan sempena Karnival Hartanah UDA Ria di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Pangsapuri Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah yang dibangunkan di Seberang Jaya di sini, dianggap sebagai kediaman kondusif yang sesuai untuk pembeli rumah pertama khususnya pasangan yang baharu berkahwin atau mempunyai keluarga kecil.

Dibangunkan oleh syarikat pemaju hartanah terkemuka, UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi anak syarikatnya, UDA Property, pangsapuri dengan dua jenis keluasan berbeza iaitu 88 dan 102 meter persegi itu merupakan kediaman pegangan pajakan setinggi 40 tingkat serta mengandungi 422 unit kediaman.

Ia dilengkapi dengan tiga bilik tidur serta dua bilik mandi dan boleh dimiliki dengan harga bermula RM300,000.

Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, Amanee Residences terletak bersebelahan Taman Wakaf Seetee Aisah dan merupakan projek pembangunan hartanah wakaf berkeluasan kira-kira 1.18 hektar.

Katanya, projek tersebut dijalankan secara kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan UDA Land (North) Sdn. Bhd..

“Terima kasih kepada MAINPP kerana memberikan kepercayaan kepada UDA untuk menerajui projek pembangunan tanah wakaf milik mereka sejak Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah dibangunkan di sini (Seberang Jaya).

“Ia telah menjadi model pusat komersial pertama seumpamanya di negara ini yang melibatkan pembangunan tanah wakaf,” katanya pada majlis pelancaran projek pangsapuri itu yang diadakan sempena Karnival Hartanah UDA Ria selama dua hari bermula hari ini, di sini.

Hadir sama pada majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany.

Pada karnival tersebut, UDA turut menyampaikan hadiah utama ‘UDA Ria 2022’ kepada pemenang iaitu Rosliza Abdul Rahim, 38, yang menerima baucar tunai UDA Property bernilai RM100,000 selepas membeli kediaman Areca Terrace Phase 4A yang dibangunkan UDA Land (South) Sdn. Bhd. di Bandar UDA Utama, Johor Bahru, Johor tahun lepas.

ROSLIZA Abdul Rahim (kiri) menerima hadiah cabutan bertuah ‘UDA Ria 2022’ iaitu baucer tunai bernilai RM100,000 sempena Karnival Hartanah UDA Ria di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

Difahamkan, karnival hartanah itu adalah permulaan bagi siri jelajah Karnival Hartanah UDA Ria untuk tahun ini yang dijangka diteruskan di beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Johor, Selangor dan Sarawak.

Dalam pada itu, Mohd. Salem memberitahu, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM162 juta, Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, jakuzi, gimnasium, taman permainan, taska dan tempat letak kenderaan berbumbung.

Katanya, turut tersedia ialah dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah selain dilengkapi dengan aspek keselamatan secara berpagar dan berpengawal.

“Kediaman ini terletak di lokasi strategik iaitu tidak jauh dari Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dan terminal feri Butterworth serta berdekatan dengan hospital, sekolah dan sebagainya.

“Apabila siap sepenuhnya menjelang Oktober 2025, projek ini akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan sedia ada,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya