Aidiladha: Enam juta kenderaan di lebuh raya

Aidiladha: Enam juta kenderaan di lebuh raya

LEBIH 300,000 kenderaan menuju ke negeri-negeri di Pantai Timur bagi sambutan Hari Raya Aidiladha sejak Selasa hingga kelmarin. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan kira-kira enam juta kenderaan melalui semua lebuh raya di seluruh negara bagi sambutan Hari Raya Aidiladha sejak Selasa hingga kelmarin.

Dijangkakan jumlah kenderaan meningkat semula menjelang hujung minggu ini apabila ramai yang bercuti di kampung pulang ke Lembah Klang untuk bekerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, dalam tempoh tersebut, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke semenanjung utara paling tinggi direkodkan dilalui kenderaan iaitu sebanyak 718,335 buah.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 429,070 kenderaan menuju ke arah selatan manakala 305,500 lagi menuju ke negeri-negeri di Pantai Timur melibatkan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Karak, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT2) dan LPT 2,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

MAT KASIM KARIM

Menurut beliau, polis mengenal pasti sebanyak 76 lokasi titik hitam di semua lebuh raya, jalan negeri dan jalan persekutuan di seluruh negara yang kerap berlaku kemalangan sejak Januari hingga Mei lalu.

“Antara lokasi titik hitam itu ialah 18 di Kelantan; masing-masing 13 di Kedah dan Pulau Pinang; Perak (10 lokasi), Johor (enam lokasi), Perlis (lima lokasi), Negeri Sembilan (empat lokasi), Pahang (tiga lokasi), Selangor (dua lokasi) dan masing-masing satu lokasi di Labuan serta Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Mat Kasim menasihatkan pemandu kenderaan mematuhi peraturan undang-undang jalan raya demi keselamatan diri, ahli keluarga dan pengguna jalan lain.

Jelasnya, pengguna perlu merancang perjalanan untuk keselamatan semasa memandu di jalan raya selain sentiasa bekerjasama antara satu sama lain dalam pergerakan lalu lintas.

Selain itu, tambahnya, orang ramai perlu memastikan kenderaan diselenggara secara berkala agar dalam tahap terbaik untuk membantu melancarkan perjalanan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×