ABIM sokong tindakan terhadap pemimpin politik yang main Isu 3R

ABIM sokong tindakan terhadap pemimpin politik mainkan isu 3R

MUHAMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata bahawa tindakan serta-merta harus diambil terhadap mana-mana pemimpin yang cuba memanipulasi isu 3R iaitu Bangsa (Race), Agama (Religion) dan Raja-raja (Royalty) dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kesan terhadap manipulasi isu 3R itu sangat besar kerana ia akan mudah mencetuskan keretakan dalam masyarakat.

“Sudah sampai masa ahli politik serta penggeraknya didisiplinkan untuk fokus berkempen atas dasar dan perancangan yang meningkatkan kualiti hidup rakyat dan generasi akan datang.

“Dalam konteks seorang Muslim, Islam tidak boleh sama sekali digunakan untuk menjustifikasikan fitnah, politik kebencian, serta pembunuhan dan perlecehan karakter,” katanya dalam satu kenyataan.

Faizal berkata, ABIM berpendirian bahawa mana-mana pemimpin politik harus menjaga adab, tatasusila, sensitiviti masyarakat serta bertanggungjawab mempertahankan nilai perpaduan dan keharmonian negara.

“ABIM ingin merujuk kepada titah Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak Ke-15 pada Disember lepas bahawa tindakan tegas lagi segera wajib diambil untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum,” katanya.

Beliau berkata, ABIM dukacita apabila terdapat sesetengah pemimpin politik yang ghairah berkempen tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat terutama menyentuh isu 3R. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN