5 suspek sindiket edar dadah ditahan, seorang ditemukan mati di lokap - Utusan Malaysia

5 suspek sindiket edar dadah ditahan, seorang ditemukan mati di lokap

KHAW Kok Chin (tiga dari kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas daripada satu sindiket dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang suspek disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah ditemukan maut di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), awal pagi hari ini.

Lelaki warga tempatan berusia 40 tahun itu ditemukan maut oleh pegawai polis yang bertugas kira-kira pukul 10 pagi selepas dipercayai menggantung diri di jeriji besi lokap berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek merupakan salah seorang daripada lima suspek warga tempatan berusia 35 hingga 58 tahun yang ditahan polis dalam operasi terancang yang dijalankan di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah (SPT), dan Kulim, Kedah.

Katanya, operasi itu dijalankan semalam bermula pukul 12 tengah hari hingga pukul 7 pagi hari ini.

”Suspek yang berasal dari Lunas, Kulim ini ditahan semalam dan dia ditemukan mati di lokap kira-kira pukul 10 pagi hari ini.

”Menerusi siasatan terdapat tiga tahanan di dalam lokap yang sama dengan suspek dan mereka didapati tidur ketika kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau, tidak ada kesan kecederaan jenayah pada suspek dan rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan suspek telah menggantung diri menggunakan baju di jeriji besi lokap.

“Pihak koroner juga telah dipanggil untuk mengesahkan kematian dan kes kematian suspek yang turut didapati positif dadah disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang turut dianggotai oleh suspek yang ditemukan maut di lokap terbabit, Kok Chin berkata, polis menjalankan empat serbuan dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk jenis ‘mushroom’ bernilai RM116,000 seberat 12.72 kilogram.

”Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah sindiket ini telah bergiat aktif sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan,” katanya.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan positif pelbagai jenis dadah dan semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dah dadah.

”Suspek-suspek yang ditahan ini bekerja sebagai pekebun, pembantu kedai serta penganggur dan mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Julai untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, polis turut menyita tiga buah kenderaan dengan jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan dadah berjumlah RM201,520 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya