Dua warga Thailand didenda RM6,000 selepas cuba bawa masuk migran - Utusan Malaysia

Dua warga Thailand didenda RM6,000 selepas cuba bawa masuk migran

DUA tertuduh (tiga dari kiri) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua warga Thailand didenda RM6,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membenarkan migran warganegara asing masuk ke negara ini pada April lalu.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan dua tertuduh, Kantapong Phetkliang, 37, dan Muhammattarmisee Salaeh, 31.

Mengikut pertuduhan, kedua tertuduh didakwa telah membenarkan seorang migran haram warganegara asing untuk masuk ke premis kaunter pemeriksaan KM3, Pos Imigresen Padang Besar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis berkenaan pada 17 April lepas sekitar pukul 3.10 petang.

Berikutan itu, kedua tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau dipenjara tidak lebih bagi tempoh 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap migran yang dijumpai di premis berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia Perlis, Shazwani Ibrahim menakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, tertuduh pertama memohon agar satu hukuman minimum dikenakan berikutan hanya bekerja sebagai pemandu teksi dan perlu menanggung dua ibu bapa.

Manakala, tertuduh kedua juga memohon jumlah hukuman minimum berikutan perlu menyara empat tanggungan, selain turut bekerja sebagai pemandu teksi.

Pihak pendakwaan bagaimanapun meminta agar mahkamah dapat memberikan satu hukuman sewajarnya berikutan kesalahan itu adalah serius terhadap kepentingan dan keselamatan awam, sekali gus mengancam kedaulatan negara.

Selain itu, pendakwaan memohon agar barang kes disita iaitu kereta pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dilucuthak kepada kerajaan Malaysia manakala barang kes lain turut dilupuskan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN