42% graduan dapat kerja tidak sepadan, gaji bawah RM2,000

42% graduan dapat kerja tidak sepadan, gaji bawah RM2,000

V. Sivakumar melancarkan Program Eksplorasi Karier Peringkat Kebangsaan di SMK Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Hampir separuh daripada graduan yang memohon penempatan melalui sistem MYFutureJobs menerima pekerjaan tidak sepadan dengan bidang dikehendaki.

Malahan, menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, mereka turut didapati bekerja dalam pekerjaan separa mahir dan rendah serta hanya bergaji bulanan kurang RM2,000.

“Jika dilihat statistik setakat 14 Julai lalu, jumlah ini merekodkan 42 peratus atau seramai 15,460 daripada keseluruhan penempatan MYFutureJobs,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Eksplorasi Karier Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Laut, di sini hari ini.

Ia hasil inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan Pintar dengan pihak Kementerian Pendidikan yang melibatkan buat permulaan sebanyak 11 buah SMK sekitar Lembah Klang dan Pahang dipilih sebagai perintis dengan keseluruhan lebih 1,000 pelajar peringkat menengah atas sepanjang tahun ini.

Menerusi program itu, guru kaunseling di SMK terlibat akan dibantu Perkeso dan Yayasan Pintar sebagai mentor yang membangunkan modal insan menepati permintaan pasaran.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, program jelajah kerjaya itu dirangka khusus untuk menangani isu ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan yang sering kali berlaku.

Beliau memberikan contoh tidak ramai pelajar SMK tahu peluang besar dalam bidang sains digital yang menawarkan banyak pekerjaan baik terutama kerjaya keselamatan siber.

Dalam nada optimis, beliau berkata, sekiranya Program Eksplorasi Karier itu berjaya, ia akan diperluaskan kepada kesemua sekolah di seluruh negara dalam masa terdekat.

Ujarnya, kementerian berharap, inisiatif tersebut mampu memperkasakan lagi pasaran buruh yang dipacu permintaan pihak industri agar memenuhi keperluan sebenar majikan sekali gus merealisasikan sasaran kerajaan menurunkan kadar pengangguran selaras Pelan Strategik Kementerian Sumber Manusia 2020-2025.

Pada masa sama, beliau menyeru sokongan semua pihak untuk membantu kerajaan bagi menambah baik peluang penempatan pekerjaan di pasaran kepada graduan tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya