SUNGAI PETANI: Kerajaan bercadang untuk menggunakan 40 peranti Starlink di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha memperbaiki capaian internet di kampus masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peranti tersebut diperoleh hasil persidangan video dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk semalam.
“Saya melawat universiti dan mendengar rungutan daripada pelajar yang bertanya ‘Datuk Seri bagaimana kita boleh belajar sedangkan internet tidak boleh digunakan.
“Jadi apabila Elon Musk bercakap dengan saya, saya maklumkan Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital) semalam untuk membeli (peranti Starlink) dengan segera, dan kita akan memasangnya di mana sahaja universiti yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Amanjaya, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, peranti tambahan itu juga akan digunakan untuk meningkatkan lagi tahap capaian internet di kawasan luar bandar.
“Musk berkata dia boleh memberikan kita 40 peranti. Dia juga memberi jaminan bahawa jika kita memerlukan lebih banyak unit, kita juga boleh membelinya untuk pemasangan di kawasan luar bandar.
“Kita akan memperoleh peranti ini untuk usahawan luar bandar dan projek luar bandar, tetapi kita mulakan dengan universiti, politeknik dan sekolah yang memerlukan akses internet,” katanya.
Tambah Anwar, peranti itu boleh memastikan liputan internet pada kadar capaian terbaik walaupun di kawasan luar bandar dan terpencil.
“Peranti ini kecil tetapi ia boleh menukar sambungan internet yang perlahan kepada sambungan segera. Jika tiada internet di sini, ia akan menyediakan internet kerana ia dipautkan secara langsung kepada satelit,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan pelaburan Musk di Malaysia adalah berdasarkan kepercayaan syarikat tersebut dengan kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara ini.
“Kerana dia tahu saya mengetuai kerajaan yang stabil. Dia tahu Anwar bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memastikan kerajaan yang kukuh dan jelas dasar ekonomi.
“Beliau mahu tahu ke mana hala tuju kita, keutamaan kita iaitu ekonomi luar bandar, keselamatan makanan dan ekonomi digital. Jadi apabila kita bincangkan perkara ini melibatkan orang terkaya di dunia. Dia buat keputusan untuk buka ibu pejabat (Tesla) di Cyberjaya,” katanya. – UTUSAN










