KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang guru wanita atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak muridnya, tiga tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Alina Md. Zakaria, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
“Setelah mendengar, meneliti dan mempertimbangkan keterangan daripada 14 saksi pendakwaan, selain hujahan lisan dan bertulis kedua-dua pihak, mahkamah mendapati keterangan mangsa tidak mencapai tahap unusually convincing.
“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan.
“Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan manakala wang jaminan dipulangkan,” kata hakim itu.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin manakala tertuduh diwakili peguam-peguam, Datuk Ishak Mohd. Yusoff dan Fadhli Sutris.
Mengikut pertuduhan pertama, Alina sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu guru didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 15 tahun tiga bulan di dalam kereta di Kampung Baru di sini pada 23 Jun lalu.-UTUSAN










