SHAH ALAM: Selangor menduduki tangga ke-14 dalam indeks kebahagiaan di hadapan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun berada dalam kedudukan ke-14 berbanding 16 bandar-bandar utama, ketiga-tiga negeri itu dianggap sebagai berpendapatan tinggi.
Katanya, bagaimanapun faktor pendapatan tinggi itu belum tentu dapat menentukan kedudukan dalam indeks kebahagiaan tanpa pelaksanaan langkah-langkah yang memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat dipastikan.
“Ada 13 indikator yang telah ditetapkan oleh DOSM yang mengukur aspek-aspek kebahagiaan. Antara skor tertinggi adalah kekeluargaan dengan 8.053 mata, keagamaan 8.053 dan seterusnya pendidikan 7.80.
“Seterusnya adalah skor perumahan dan alam sekitar ini adalah 4 skor tertinggi kebahagiaan bagi satu-satu negeri. Data yang dikeluarkan menunjukkan Selangor menduduki tangga ke-14 daripada 16 bandar-bandar ataupun negeri-negeri termasuk Labuan, Putrajaya dan sebagainya,” katanya ketika pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) berhubung indeks kebahagiaan di negeri ini pada sesi soal jawab.
Tambahnya, tiga kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berada dalam kedudukan paling bahagia di Selangor iaitu Ampang, Petaling Jaya dan Klang.
Amirudin menjelaskan, pelbagai tindakan dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap faktor yang menyumbang kepada catatan indeks tersebut merangkumi perumahan, pendidikan, kemudahan lain, pengangkutan awam dan pembasmian kemiskinan.
“Kita melancarkan projek-projek perumahan sebanyak 170,000 kita luluskan, 40,000 daripadanya sedang dan akan dibangunkan melalui anak syarikat. Saya ingat lebih daripada 15,000 rumah idaman diberikan kepada penduduk-penduduk. Kita juga buat Skim Smart Sewa.
“Tentang pengangkutan awam, program Bas Smart Selangor memberikan kelegaan. Kita teroka kebolehlaksanaan DRT, walaupun keberkesanannya boleh diperkemaskan lagi. Sebab itu semalam saya sebut, yang penting adalah kesempatan dalam situasi sekarang,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau bersetuju supaya indeks tersebut perlu diperbaiki dan mencapai kedudukan yang lebih baik berbanding pada hari ini. – UTUSAN










