239,609 lepasan SPM 2022 mohon masuk IPTA, meningkat tahun ini

239,609 lepasan SPM 2022 mohon masuk IPTA, meningkat tahun ini

SERAMAI 79,668 calon ditawarkan kemasukan ke universiti awam. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 239,609 permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) diterima bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, iaitu meningkat sebanyak 2,448 berbanding 237,161 pada sesi akademik lalu.

Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, daripada jumlah itu, seramai 144,911 calon ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian dengan kadar kejayaan sebanyak 60.9 peratus.

Katanya, ia meliputi seramai 79,668 calon ditawarkan di universiti awam, manakala sebanyak 65,243 calon ditawarkan di politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi program pengajian peringkat Sijil, Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

“Seramai 61,286 calon lelaki dan 83,625 calon perempuan berjaya mendapat tawaran,” katanya hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hampir 145,000 atau sejumlah 144,911 calon ditawarkan tempat berdasarkan kekosongan tempat dan penilaian merit atau 60.93 peratus daripada 237,805 pelajar yang layak melalui permohonan kemasukan UPUOnline.

KPT menawarkan la­luan khas kepada 14,619 pelajar daripa­da empat kumpulan bagi kemasukan ke pengajian ting­gi awam iaitu golongan B40, orang kelainan upaya (OKU) atau lepa­san institusi Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM), Orang Asli dan atlet.

Bagi sesi akademik kali ini, ia merangkumi 13,649 pelajar daripada golongan B40; 346 pelajar OKU/lepasan institusi JKM, 289 pelajar Orang Asli dan 335 atlet.

Menurut JPT, calon Melayu, anak negeri Sabah, anak negeri Sarawak dan Orang Asli yang mendapat tawaran adalah seramai 130,819 (62.6 peratus) daripada jumlah calon yang layak iaitu 208,833.

Katanya, calon daripada kaum Cina yang mendapat tawaran pula adalah 5,477 (52.4 peratus) daripada jumlah yang layak iaitu 10,447 orang.

Pada masa sama, calon daripada kaum India dan lain-lain merekodkan sejumlah 8,615 (46.5 peratus) mendapat tawara daripada jumlah calon yang layak iaitu 18,525.

“Terdapat juga calon yang tidak mendapat tawaran kerana tidak memenuhi Syarat Am dan/atau Syarat Khas program pengajian, tiada kekosongan tempat terutamanya untuk program kompetitif, gagal dalam saringan temu duga atau ujian bagi program pengajian yang menetapkan syarat demikian atau kedudukan merit rendah.

“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak, tanpa mengira kaum, agama, jantina, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” katanya.

Menurut JPT, prinsip meritokrasi tersebut adalah berasaskan pencapaian akademik (90 peratus) dan pencapaian kokurikulum (10 peratus).

Sebanyak 500 program pengajian ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 143 Sijil, 47 Asasi, 309 Diploma dan 1 Ijazah Sarjana Muda.

Dalam pada itu, JPT berkata, seramai 164,028 daripada 403,637 calon yang menduduki SPM 2022 tidak memohon kemasukan ke IPTA menerusi UPUOnline® atas beberapa faktor dikenal pasti.

Antara faktor tersebut ialah mereka mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi, Institut Perguruan Malaysia (IPGM), Tingkatan 6, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan luar negara.

Ini termasuk mereka mendapat tawaran biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan lain-lain tajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya