KPT tidak halang pelajar kekangan wang daftar di universiti awam

KPT tidak halang pelajar kekangan wang daftar di universiti awam

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah menghalang mana-mana pelajar yang menerima tawaran ke Universiti Awam (UA) mendaftarkan diri walaupun berdepan masalah kewangan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dakwaan kononnya kerajaan tidak prihatin terhadap nasib golongan B40 untuk melanjutkan pengajian ke UA adalah tidak benar.

Katanya, semua pelajar yang menerima tawaran boleh mendaftar di universiti tanpa perlu bimbang masalah kewangan.

“Semua boleh mendaftar di universiti selepas mendapat tawaran. Tidak pernah ada yang dihalang mendaftar jika tiada wang. Jangan risau mak abah, kami juga pernah susah seperti mana kalian.

“Inilah peluang mengubah nasib keluarga. Jangan dihiraukan bingit di luar sana. Semuanya auta belaka. Mari sahaja daftar, nanti kami bantu sehabis baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zambry berkata, KPT melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan bantuan awal pendaftaran atau Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada pelajar yang layak.

Katanya, pelajar juga boleh memanfaatkan kemudahan pembiayaan pendidikan yang ditawarkan dengan kadar bayaran balik yang fleksibel.

“Bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya melibatkan penginapan, penempatan di kolej kediaman pada kadar sewaan bersubsidi turut disediakan kepada pelajar.

“Selain itu, program Dapur Siswa serta bantuan makanan kepada pelajar yang memerlukan juga terus dilaksanakan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengumumkan penerusan inisiatif Baucar Buku Madani bernilai RM100 yang dikhususkan kepada pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Sebelum ini, keputusan permohonan UPUOnline bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk kemasukan ke UA, politeknik, kolej komuniti dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi bagi Sesi Akademik 2026/2027 boleh disemak mulai 22 Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN