PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan memperuntukkan hampir RM130 juta untuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar mulai hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan inisiatif di bawah Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya kumpulan miskin tegar mendepani cabaran kos sara hidup.
“Dengan sumbangan yang diberikan ini dapatlah menampung sebahagian daripada perbelanjaan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM600 pada Jumaat lalu kepada penerima STR berdasarkan data e-Kasih bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas termasuk daripada jumlah keseluruhan RM8 bilion untuk peruntukan STR.
Pemberian bantuan tersebut menerusi aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum pembentangan Belanjawan Madani 2024.
Jelas kenyataan itu, penerima SARA di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan menerima bantuan itu mulai hari ini secara tanpa tunai.
Ini termasuk penerima di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan menerima bantuan itu pada tarikh sama iaitu sebanyak RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan (Julai hingga Disember 2023) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.
Ia bagi tujuan pembelian di pasar raya atau kedai runcit terpilih seluruh negara.
Penerima di Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula akan turut menerima kaedah pembayaran sama, namun ia mula diagihkan pada 31 Julai ini.
Bagaimanapun bagi penerima dari Sabah, Sarawak dan akan mendapat bantuan itu mulai 7 Ogos depan dengan bayaran RM600 secara sekali gus melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui https://www.mykasih.com.my. – UTUSAN










