ALOR SETAR: Tempoh 14 hari berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mencukupi untuk Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya itu pada 12 Ogos depan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tarikh pengundian yang ditetapkan itu juga didapati bersesuaian kerana semua jemaah haji sudah pulang ke tanah air dengan penerbangan terakhir dikatakan pada 2 Ogos.
“Tarikh-tarikh itu sesuai, 12 Ogos sesuai (kerana) jemaah haji dah balik, mereka (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) pun perlu masa sikit nak pusing lagi (kempen). Institut pengajian tinggi (IPT) pusing tak habis lagi.
“Saya difahamkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali juga akan menyerahkan writ pilihan raya kepada semua Pegawai Pilihan Raya di pusat pengundian esok,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berharap, kempen PRN dilakukan secara sihat dengan memaparkan fakta yang benar, hujahan yang berasas dan kritikan yang betul kerana permulaan kempen yang bersifat fitnah, propaganda atau adu domba akan membawa suasana politik tidak sihat.
Beliau berkata, kempen sebenarnya hanya bermula selepas proses penamaan calon pada 29 Julai ini, namun didapati serangan bertali arus melibatkan pelbagai fitnah serta cerita tidak benar yang direka-reka sudah bermula sejak kebelakangan ini.
“Mereka kata saya bergaduh dengan (Exco) Datuk Dr. Hayati (Othman), sedangkan perkara itu langsung tak benar. Ada juga dakwaan kononnya semalam saya tinggalkan mesyuarat parti kerana Pas hendak lantik Datuk Seri Mukhriz (Mahathir) sebagai Menteri Besar.
“Saya nak maklumkan, tak ada langsung mesyuarat parti kerana mesyuarat terakhir adalah pada minggu pertama Jun dan yang seterusnya akan berlangsung 8 Julai nanti di Terengganu.
“Lagi pun Mukhriz bukan menganggotai PN, malah partinya tidak diterima sertai PN, jadi tak masuk akal cerita-cerita sebegitu. Saya sebut ini bukan sebab melatah tetapi perkara ini perlu dimaklumkan kerana banyak timbul fitnah yang mungkin disebabkan kedatangan PRN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan politik merupakan sebahagian daripada urusan agama yang di dalamnya terdapat dosa dan pahala.
“Kalau dah mula dengan fitnah-fitnah, cerita tak betul saya takut habis kempen (PRN) ini semua masuk neraka. Depa dok kata tak boleh cakap pasal agama, saya nak beri ingatan bahawa politik pun ada urusan agama, ada dosa dan pahala.
“Cakap tak betul buat fitnah kat orang berdosa, kalau Tuhan tak ampun masuk neraka. Depa kata tak boleh cakap pasal 3R (kaum, agama, raja) tak kan yang itu tak boleh cakap, teruk la (kerana boleh) jadi sekular memisahkan agama dengan politik. Tak boleh larang bercakap perkara itu untuk mengingatkan orang, fitnah semua ini berdosa di akhirat nanti,” katanya. – UTUSAN










