Wira Op Daulat meninggal dunia 

Wira Op Daulat meninggal dunia 

ZULKIFLLI Abd. Aziz menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Teluk Intan, Perak, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Staf Perisikan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang terlibat dalam misi risikan semasa Op Daulat di Lahad Datu, Sabah disahkan meninggal dunia malam tadi.

Allahyarham Senior Asisten Komisioner (B) Zulkiflli Abd. Aziz, 64, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Teluk Intan, Perak.

Utusan Malaysia difahamkan, Allahyarham telah dimasukkan ke hospital berkenaan pada 1 Jun lalu selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Sungai Tungku, Perak akibat serangan jantung.

Pemergian Allahyarham disifatkan satu kehilangan besar buat negara memandangkan beliau seorang pegawai perisikan terbaik di dalam PDRM.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Zulkiflli yang merupakan penggerak utama dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyelinapan pengganas Sulu kepada PDRM telah dirawat di Hospital Teluk Intan.

Keadaannya lemah dan bergantung kepada alat bantu pernafasan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri yang melawat Zulkifli berkata, pesara polis itu ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di rumahnya di Sungai Manik, dekat sini pada 1 Jun lalu dan dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi menerima rawatan.

Menurutnya, Zulkiflli memulakan perkhidmatan di Bahagian Cawangan Khas sehingga jawatan terakhirnya sebagai Ketua Staf Perisikan ESSCOM sebelum bersara wajib empat tahun lalu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh dalam Cawangan Khas, Zulkiflli banyak membantu dalam Op Daulat semasa kemasukan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Beliau menyalurkan maklumat-maklunat risikan bagi kegunaan pasukan gempur, ini termasuk maklumat serangan dan pengesanan ahli-ahli pengganas Sulu yang menyelinap masuk ke Sabah.

Beliau adalah penggerak utama, beliau adalah ‘unsung hero’ yang membantu pihak PDRM untuk mengesan dan menangkap pengganas Sulu sehingga ada yang sudah ditangkap dan dijatuhkan hukuman. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN