Warga emas maut dipukul: Pasangan suami isteri direman seminggu - Utusan Malaysia

Warga emas maut dipukul: Pasangan suami isteri direman seminggu

KEDUA-dua suspek (dua dari kiri) yang dipercayai terlibat dengan kes memukul ibu mereka sehingga menyebabkan kematian di sebuah kediaman di Taman Cempaka Putih, Arau dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis bagi mendapatkan perintah reman hari ini-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasangan suami isteri yang disyaki memukul ibu mereka sehingga menyebabkan kematian di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang di sini semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Khamis depan itu dikeluarkan oleh Majistret, Siti Nor Hasliza Md Ali di Mahkamah Majistret Kangar di sini hari ini.

Kedua-dua suspek berusia 34 tahun itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar pada pukul 10.25 pagi dengan diiringi anggota polis bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi mengesahkan mengenai penahanan reman berkenaan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang warga emas yang menghidap strok maut selepas dipercayai dipukul oleh anak dan menantunya di sebuah kediaman di Taman Cempaka Putih di sini.

Dalam kejadian sekitar pukul 4.30 pagi itu, mangsa Rashidah Chong, 74, dipercayai dipukul pada bahagian muka dan kepala.

Ahmad Mohsin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 5.30 pagi menerusi pegawai perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang memaklumkan terdapat pesakit meninggal dunia disyaki dipukul.

“Mangsa sebelum itu telah dihantar ke unit kecemasan hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri walaupun pasukan perubatan telah memberi rawatan awal.

“Pemeriksaan dilakukan pasukan perubatan pada bahagian luaran badan mangsa mendapati kesan lebam di kedua-dua mata, dahi, telinga kanan dan sedikit kesan luka pada jari kaki kiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Mohsin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan anak perempuan mangsa berusia 34 tahun turut mengaku berlaku pertengkaran selepas tidak tahan dengan kerenah warga emas itu dan bertindak memukulnya dengan menggunakan tangan di bahagian muka dan kepala.

Katanya, menantu mangsa juga disyaki terlibat dalam kejadian itu berdasarkan kepada keterangan yang meragukan.

“Kedua-dua suspek mengaku tidak bersalah membunuh warga emas itu dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya