PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme yang dapat mengawal selia barangan bersubsidi supaya ia hanya dinikmati oleh kumpulan sasar dan warganegara sahaja, bukan turut dirasai oleh warga asing.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, pemberian subsidi terhadap barangan keperluan adalah satu polisi dan langkah yang
“Saya rasa satu mekanisme wajib diwujudkan untuk mengawalselia bekalan barangan bersudsidi yang hanya terhad kepada warganegara Malaysia. Mekanisme ini mesti mendapat sokongan dan sambutan penuh oleh pembekal dan penjual, terutama peniaga runcit atau pasar raya.
“Ia seperti yang sedang dilaksanakan di stesen petrol iaitu minyak RON95 hanya untuk kenderaan berdaftar di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini mendedahkan, ketiadaan mekanisme untuk mengawal selia barangan bersubsidi kepada kumpulan sasar menyebabkan berlaku ketirisan sehingga ia turut dinikmati warga asing.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber industri yang terlibat dalam soal dasar berkata, setakat ini tiada kementerian atau agensi yang mempunyai punca kuasa menyelesaikan isu itu.
Nan Sang berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu mengambil inisiatif untuk melaksana, memantau dan mengawal serta mengambil tindakan keras ke atas mereka yang melanggar undang-undang tersebut.
“Kawalan atau sekatan boleh dilaksanakan mengikut atau mengambil nombor MyKad sebagai sekatan untuk memastikan pembeli barangan bersubsidi itu adalah warganegara Malaysia.
“Sistem mesin cashier juga harus diprogram dengan pengesahan Mykad untuk pembeli dilepaskan dengan bayaran bersubsidi, jika bukan warganegara Malaysia, harga jualan akan automatik mengikut bayaran harga pasaran dan bukannya harga yang telah disubsidikan,” katanya. – UTUSAN










