BARU berusia 29 tahun, jejaka keturunan Baba Nyonya ini tidak kekok malah bangga diberi kepercayaan menjadi vokalis utama kumpulan rock legenda, May.
Kelvin Thein masih kanak-kanak sewaktu mendengarkan muzik kumpulan May yang sering diputarkan bapanya sejak kecil.
“Ayah saya merupakan seorang ahli perniagaan dan biasa keliling Malaysia. Dia selalu memutar lagu-lagu May, waktu itu saya berusia lapan tahun. Sebenarnya lagu-lagu May sangat terkenal pada zaman 90-an dan diraikan pelbagai bangsa.
“Saya tak sedar muzik dan lagu May sedap sehingga saya mula meginjak dewasa. Terima kasih saya ucapkan kepada abang-abang May kerana mengambil saya sebagai vokalis,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar Konsert Lagenda Rock Vol. 1, baru-baru ini.
Jejaka keturunan peranakan Baba Nyonya itu dipilih selepas menjalani sesi ujibakat, selain namanya turut dicadangkan oleh seorang legenda rock.
Menurut pemain bass kumpulan May, Yus, lelaki yang selesa dipanggil Kelvin itu mempunyai vokal dan karakter yang unik membuatkannya cocok untuk menggantikan Muss yang mengundurkan diri sebagai vokalis May pada 2020.
Walaupun bekerja dengan ahli kumpulan yang dua kali ganda lebih tua daripada usianya, Kelvin mengakui tiada masalah kerana masing-masing mempunyai misi yang sama iaitu menghasikan semua muzik rock yang segar.
“Saya sangat menghormati ahli kumpulan saya. Bayangkan, semasa saya masih kecil, mereka sudah pegang gitar. Tiada masalah bekerjasama memandangkan kami semua mempunyai fokus yang sama iaitu tentang muzik.
“Saya menyukai muzik-muzik rock berat seperti lagu Nasi Puaka nyanyian kumpulan May. Banyak orang tidak mendengar lagu dengan tona muzik yang berat, namun saya menyukainya kerana ia unik.
“Pendek kata, kami sekepala tentang muzik,” tambahnya yang juga pernah belajar dalam jurusan Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) serta terlibat dengan festival muzik di Bali, Indonesia sebelum ini.
RASA TERUJA
Kehadiran Kelvin sebagai vokalis May sebenarnya sudah bermula sejak enam bulan lalu. Namun ahli kumpulan itu membuat keputusan untuk tidak menghebahkan perkara ini memandangkan Kelvin belum bersedia.
Namun, hari ini, jejaka itu dilihat sudah bersedia apalagi dia bakal tampil bertama kali bersama-sama kumpulan May dalam sebuah konsert Lagenda Rock Vol. 1 yang bakal berlangsung pada 16 Julai ini.
“Setakat ini boleh dikatakan saya sudah menghafal 50 peratus lagu-lagu kumpulan May. Saya sangat teruja untuk konsert nanti.
“Memang menjadi harapan saya untuk melihat legasi rock diteruskan. Saya akan buat yang terbaik untuk kumpulan ini,” katanya lagi.
Kehadiran Kelvin juga diharap dapat memberikan sebuah perubahan baharu kepada kumpulan May dengan menarik lebih ramai pendengar Rock daripada generasi muda.
Konsert Legenda Rock Vol. 1 bakal menghimpunkan empat kumpulan muzik rock dan metal dari era 80-an dan awal 90-an iaitu XPDC, Rusty Blade, May dan Babylon.
Konsert ini bakal berlangsung di Megastar Arena, Sg. Wang Plaza, Kuala Lumpur pada 16 Julai ini.
Setiap kumpulan akan membuat persembahan dalam durasi kira-kira satu jam. Tiket sudah mula dijual di www.MyTicket. asia.