KOTA KINABALU: Tidak timbul isu kepimpinan Parti Warisan (Warisan) akan berubah dalam masa terdekat kerana Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal masih lagi berupaya menerajui kepimpinan parti.
Malah, jika dibandingkan dengan presiden parti-parti lain di Malaysia, Presiden Warisan itu jauh lebih muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, isu perubahan pucuk pimpinan Warisan tidak timbul pada masa ini kerana Mohd. Shafie masih lagi Presiden parti.
Beliau berkata, apa yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebelum ini hanya sebagai gambaran situasi politik di negara ini, iaitu apabila sesuatu berlaku kepada Presiden parti, timbalan presiden akan menjadi penggantinya.
“Begitu juga dalam Warisan, Mohd. Shafie memberitahu sekiranya berlaku sesuatu kepadanya, Datuk Darell Leiking sebagai Timbalan Presiden akan mengambil alih jawatan presiden.
“Situasi sebegitu adalah sama dengan mana-mana parti sekalipun, bukan hanya di dalam Warisan,” katanya.
Mohd. Azis berkata, situasi yang sama juga akan berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekiranya berlaku sesuatu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin maka, Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menggantikan Muhyiddin.
Dalam PKR juga begitu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan mengambil alih jawatan Presiden PKR seandainya berlaku sesuatu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, peralihan pimpinan akan berlaku secara automatik sekiranya presiden parti tidak lagi mahu menerajui pimpinan parti sama ada atas faktor kesihatan atau ingin berundur dari politik.
Pada persidangan DUN Mei lalu, Mohd. Shafie menyatakan Darell akan menggantikannya sekiranya sesuatu berlaku kepada beliau. Kenyataan itu menimbulkan kekeliruan kerana ia seolah-olah memberi gambaran Presiden Warisan itu ingin berundur dari arena politik.
Sebelum ini, Mohd. Shafie juga tampil memberi penjelasan bahawa beliau tidak berhasrat untuk meletak jawatan sebagai Presiden Warisan sebaliknya, beliau mahu meneruskan perjuangan agar suara dan hak rakyat Sabah akan terus terbela.
Namun, sekiranya ada proses peralihan pimpinan pada masa hadapan, beliau meminta ahli-ahli parti menerima dengan baik transisi dalam kepimpinan Warisan tersebut.

Barisan kepimpinan Parti Warisan:-
Presiden: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (MP Semporna)
Timbalan Presiden: Datuk Darell Leiking
Naib Presiden: Datuk Jaujan Sambakong (ADUN Sulabayan)
Naib Presiden: Datuk Junz Wong (ADUN Tanjung Aru)
Naib Presiden: Terrence Siambun
Naib Presiden: Dr Daud Yusof (ADUN Bongawan)
Setiausaha Agung: Datuk Loretto Padua Jr
Bendahari Agung: Azhar Matussin (ADUN Darau)
Ketua Penerangan: Datuk Mohd. Azis Jamman
Ketua Wanita : Norfaizah Chua
Ketua Wira: Ismail Ayub
Ketua Wirawati: Isnaraissah Munirah Majilis (MP Kota Belud)- utusan










