Tidak terlibat dosa besar antara kriteria calon Pas

Tidak terlibat dosa besar antara kriteria calon Pas

DATUK HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tidak terlibat dengan dosa-dosa besar serta berakhlak antara kriteria dan keutamaan calon Pas yang bakal dipilih bertanding di 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) membabitkan enam negeri.

Tapisan calon tersebut akan dibuat pada mesyuarat Majlis Syura Ulama minggu depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, setiap kawasan DUN akan dikemukakan tiga calon untuk proses tapisan berkenaan.

Katanya, majlis syura akan meneliti setiap calon yang bakal dikemukakan itu sebelum mempertimbang memilih mereka yang benar-benar layak untuk bertanding.

“Agenda utama mesyuarat Majlis Syura Ulama minggu depan adalah untuk kita melakukan tapisan kelayakan calon-calon yang bakal bertanding.

“Keutamaan calon yang bakal dipilih itu tidak terlibat dengan dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil serta berakhlak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan rundingan kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi PRN enam negeri akan datang telah dimuktamadkan dengan gabungan itu akan bertanding di semua 245 kerusi DUN melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Pas akan bertanding di 126 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 83 kerusi dan Gerakan (36 kerusi).

Kata Muhyiddin, jumlah kerusi baharu bukan penyandang yang akan ditandingi oleh Bersatu pula adalah 64, Pas 50 dan Gerakan 36.

Sementara itu, mengulas mengenai sama ada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa akan diberi peluang sebagai calon mewakili Pas, Hashim berkata, Majlis Syura Ulama akan mempertimbangkan mengenainya jika nama beliau dicalonkan.

Katanya, beliau tidak ada masalah sekiranya bekas pemimpin kanan UMNO itu ditampilkan sebagai calon Pas dalam PRN kelak.

Dalam masa sama, Hashim turut memaklumkan beliau juga tidak ada masalah jika bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dicalonkan dalam PRN.

“Sama seperti orang lain, kita akan mempertimbangkan. Kita tidak ada masalah Nik Abduh dicalonkan. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dia layak bertanding di Parlimen tetapi dia tarik diri,” katanya.

Dalam pada itu, Hashim berkata, gelombang hijau dan PN akan terus berlaku dalam PRN termasuk boleh melakukan kejutan di negeri-negeri seperti Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×