Tak mustahil 1 kad MyPR 'dikongsi' 10 individu

Tak mustahil 1 kad MyPR ‘dikongsi’ 10 individu

Lelaki yang mendakwa bernama Basni Sabrah sebelum meninggal dunia di Hospital Kajang disahkan JPN mengguna dokumen palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kisah malang menimpa seorang lelaki warga emas yang sudah meninggal dunia pada April lalu namun sehingga kini belum dikebumikan, menimbulkan persoalan tahap seriusnya kegiatan pemalsuan kad Pemastautin Tetap (MyPR) membabitkan warga asing di negara.

Mana tidaknya, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2018, jumlah pemegang kad MyPR di negara adalah seramai 269,899 orang. Namun data tersebut diyakini jauh lebih tinggi pada masa kini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kisah ‘Basni Sabrah’ adalah sama dengan modus operandi sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.

Menurut beliau, kebiasaannya, kumpulan tidak bertanggungjawab itu akan menggunakan identiti asal pemegang kad pengenalan tersebut dengan hanya menukar gambar yang tertera sahaja bagi mengaburi mata pihak berkuasa jika ditahan.

“Mereka biasanya tidak mengubah sebarang maklumat yang tertera di kad pengenalan tersebut seperti nama, alamat dan nombor pemilik asal sebaliknya hanya mengubah gambar saja.

“Walaupun ia boleh mengaburi mata pihak berkuasa, jika pemeriksaan rapi dilaksanakan seperti memeriksa pangkalan data pihak JPN, ia boleh dikenalpasti sama ada palsu atau tulen,” katanya.

Berkongsi pengalamannya sebagai bekas pegawai kanan Jabatan Imigresen, Shahul Hamid berkata, sindiket seumpama itu pernah ditumpaskan ketika dia masih berkhidmat suatu masa dulu.

Menolak kemungkinan sindiket sedemikian didalangi ‘orang dalam’, Shahul Hamid berkata, kebiasaannya aktiviti pemalsuan dokumen tersebut dijalankan oleh warga asing itu sendiri untuk mengaut keuntungan daripada rakan-rakan yang gagal mendapatkan status pemastautin tetap (PR) di negara.

“Sindiket sebegini sudah lama wujud. Biasanya mereka akan menjualnya kepada rakan senegara sendiri dengan harga yang mungkin boleh mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apa yang dikhuatiri adalah kes seperti yang menimpa ‘Basni Sabrah’ boleh menjadi semakin serius di kemudian hari kerana lelaki tersebut ‘memadamkan’ identiti dirinya yang sebenar untuk berada di negara ini.

“Tak mustahil jika sindiket memalsukan satu kad MyPR untuk kegunaan lima atau 10 individu lain. Perkara tersebut perlu disiasat secara terperinci oleh pihak bertanggungjawab,” katanya.

Menurut beliau, status PR di negara ini amat ditunggu-tunggu oleh warga asing yang masuk ke negara secara sah disebabkan manfaat yang diberikan kepada pemegangnya.

“Namun pada masa sama, ia juga amat diperlukan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) atau warga asing yang kerap ditolak permohonannya untuk mendapatkan status PR,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa jasad seorang lelaki warga emas bernama ‘Basni Sabrah’ kini masih lagi tersimpan dalam peti sejuk Unit Forensik Hospital Kajang walaupun sudah disahkan meninggal dunia pada 12 April lalu.

Si mati sebelum itu menghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, selama empat tahun namun difahamkan pihak pengurusan pusat tersebut tidak pernah ada dokumen pengenalan dirinya melainkan salinan kad pengenalan pemastautin tetap dengan nama ‘Basni Sabrah’.

Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono mengesahkan individu bernama Basni Sabrah sebenarnya masih hidup dan menetap di ibu negara selepas berjaya menjejaki warisnya di Sumatera.

Akhbar ini juga berjaya menghubungi Basni Sabrah yang sebenar dengan bantuan Kedutaan Indonesia yang kini bekerja sebagai kelindan lori di ibu negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN