Sultan Kedah sekali lagi titah KXP diberi perhatian

Sultan Kedah sekali lagi titah KXP diberi perhatian

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sekali lagi menyeru agar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi sebahagian daripada Kedah Aerotropolis diberi layanan dan perhatian yang adil dan sewajarnya.

Titah baginda, projek itu diharapkan dapat direalisasikan oleh pihak-pihak terlibat demi kebaikan negeri, negara dan rakyat.

“Bagi mewujudkan sebuah negeri yang memiliki pengagihan ekonomi yang adil dan saksama, ekonomi rakyat jelata khususnya melibatkan kelompok miskin perlu diberi perhatian.

“Amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan beza pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin di peringkat negeri dan persekutuan sehingga membelakangkan keperluan negeri dan negara yang jauh lebih mustahak,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Titah baginda, perancangan pembangunan KXP di dalam kerangka pembangunan Kedah Aerotropolis akan memenuhi kehendak tersebut dan bertindak sebagai ‘game changer’ yang akan mengubah landskap ekonomi ke tahap yang lebih ampuh.

“Beta berpendapat hasrat ini akan dapat disegerakan sekiranya kerajaan beta dan Kerajaan Persekutuan dapat bekerjasama dan pucuk pimpinan mampu mengenepikan perasaan peribadi dalam mentadbir hal ehwal berkaitan pembangunan,” titah baginda.

Titah baginda, projek itu penting untuk terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kini sedang bertumbuh pesat kerana keperluan yang mendesak untuk memperkasa jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri.

“Hal ini adalah kerana apabila pengeluaran dalam negeri dan wilayah bertambah, kapasiti semasa jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri pasti tidak akan mencukupi.

“Oleh yang demikian, adalah amat mustahak bagi Kedah memiliki sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa berasaskan kargo bagi memudahkan pergerakan keluar masuk barangan dan eksport ke luar negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin berkenan mewujudkan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) yang bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat golongan miskin.

Titah baginda, TASK juga akan berperanan dalam mengimbangi pengagihan ekonomi yang lebih adil dan saksama serta menjadi wadah untuk semua pihak berganding bahu, berbakti dan berbudi kepada golongan yang memerlukan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya