Status peralihan fasa endemik diumum minggu depan

Status peralihan fasa endemik diumum minggu depan

ZALIHA Mustafa berbual bersama para penerima sijil tamat program Talent Grooming Programme (TGP) pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan status peralihan fasa endemik Covid-19 selepas membentangkan laporan tersebut kepada mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, keputusan mengenainya akan dibuat selepas mesyuarat berkenaan.

“Saya akan membentangkan laporan kepada Jemaah Menteri daripada Bahagian Kesihatan Awam yang telah pun memberi saranan untuk kita laksanakan SOP (prosedur operasi standard) yang boleh dikategorikan sebagai SOP baharu.

“Tetapi (pengumuman), selepas saya bentang kepada Jemaah Menteri minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KKM di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan negara itu secara rasmi menamatkan status pandemik Covid-19 dan memasuki fasa endemik.

Ujar beliau, langkah tersebut merupakan reaksi kepada kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan berakhirnya tindakan kecemasan kesihatan awam terhadap virus itu.

Bagaimanapun, Kerajaan Malaysia akan menilai semula status peralihan fasa ke endemik selepas pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan berakhir pada 30 Jun ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai SOP baharu yang terkandung dalam fasa peralihan endemik, Zaliha berkata, antara perkara yang diambil kira termasuklah bilangan kes positif terkini selain daripada situasi antarabangsa serta saranan daripada WHO.

Pada masa sama, beliau memaklumkan SOP kesihatan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang juga bergantung kepada SOP baharu yang akan diumumkan kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya