Sedia beri kerjasama 1,000% – Sanusi

Sedia beri kerjasama 1,000%, isu Pulau Pinang milik Kedah – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sedia memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang milik Kedah, baru-baru ini.

“Setakat ini, saya belum beri keterangan. Mungkin esok (hari ini) depa mai (ambil keteranIOgan). Saya sedia beri kerjasama, 1,000 percent,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Muhammad Sanusi turut mengesahkan telah dihubungi pihak berkuasa berhubung kenyataannya itu namun tidak mendedahkan bila dan di mana pertemuan itu akan diadakan.

Pada 29 Mei lalu, Muhammad Sanusi mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah dengan kedua-dua negeri tidak mempunyai sempadan.

Katanya, Pulau Pinang tidak pernah terlepas daripada Kedah kerana negeri yang terkenal dengan jolokan pulau mutiara itu sememangnya hak Kedah.

Sementara itu di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, polis memulakan siasatan terhadap Muhammad Sanusi susulan kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang milik Kedah, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebahagian daripada laporan polis sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan ­pertimbangan, jika pemimpin itu wajar di­kenakan tindakan undang-un­dang, sekali gus didakwa di mahkamah.

Jelasnya, ini disebabkan pe­mimpin berkenaan secara tidak bertanggungjawab sanggup me­langgar prinsip undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menerima ­dokumen termasuk laporan polis yang mengesahkan Menteri Besar Kedah secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan be­berapa kenyataan iaitu me­nuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya mengembalikan Pulau Pinang ke Kedah.

“Kedua, beliau menyatakan ada asas yang kukuh bahawa Pulau Pinang milik Kedah. Sebagai seorang yang mempunyai kedudukan, kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab.

“Kita merdeka lebih enam dekad, parti memerintah, UMNO, Pas dan Pakatan Harapan (PH) dan sekarang Pas dengan Perikatan Nasional (PN), tidak pernah pun dibangkitkan melainkan seorang ketua (Muhammad Sanusi) yang tidak bertanggungjawab dan sanggup melanggar prinsip undang-undang perlembagaan.

“Oleh yang demikian, saya serahkan sepenuhnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan yang sesuai terhadap beliau,” katanya semasa Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat semalam.

Kes berhubung dakwaan Pulau Pinang milik Kedah oleh Menteri Besar Kedah itu kini dalam siasatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sebanyak empat laporan polis diterima berkaitan dakwaan Muhammad Sanusi berkenaan setakat ini.

‘’Kes disiasat di bawah Sek­syen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,’’ kata­nya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN