PETALING JAYA: Walaupun hanya sebuah naskhah drama bersiri, namun komitmen yang diberikan produksi Tanah Beris Film Production wajar dipuji apabila mereka sanggup berbelanja besar demi menjayakan babak seram setaraf filem.
Pengarah drama Malam Zulaikha, Shuhaimi Lua Abdullah berkata, mereka menggunakan tali khas serta khidmat pelakon aksi lasak untuk menjayakan babak rasuk dan terbang di pokok.
“Ada satu babak di mana watak utama, Zulaikha jatuh dari dahan sebuah pokok dan disambut oleh Adam Lee. Kami menggunakan kipas besar bagi memberi efek lebih dramatis menggambarkan kehebatan watak ini.
“Saya sanggup keluarkan belanja yang agak besar untuk merealisasikan babak-babak itu walaupun tidak disuruh oleh pihak stesen. Kalau ikutkan drama biasa, sebenarnya tak perlu.
“Namun saya bertanggungjawab terhadap karya saya sendiri. Saya mahu penonton rasai kelainan ketika menonton Malam Zulaikha,” katanya.
Tidak hanya mengeluarkan belanja yang besar untuk babak seram, mereka juga sanggup membayar deposit lokasi bernilai RM10,000 di sebuah rumah agam.
“Ada satu lokasi rumah agam saya bayar dengan kos yang agak besar iaitu RM2,000 sehari. Jadi saya membayar deposit keseluruhan berharga RM10, 000.
“Mujurlah lokasi lain seperti ladang ditaja oleh seorang pengusaha,” tambahnya lagi.
Drama Malam Zulaikha mengisahkan seorang gadis bernama Zulaikha lakonan Sweet Qismina yang sering mengalami gangguan mistik sejak kecil. Kejadian yang menimpa Zulaikha dikaitkan dengan saka dan jin.
Malam Zulaikha akan bersiaran sebanyak 15 episod bermula 8 Jun ini di slot Samarinda, 10 malam di TV3.
Antara pelakon yang menjayakan drama ini ialah Adam Lee, Maria Farida, Ku Fridah dan Fiza Thomas.