Sabda bakal tarik pelaburan RM1.9 bilion - Utusan Malaysia

Sabda bakal tarik pelaburan RM1.9 bilion

SABDA
AMIRUDIN Shari dan Norita Mohd. Sidek (duduk kiri) bergambar pada Majlis Pengenalan Sabda dekat Nazbell Cottage & Garden, Sungai Besar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Pembangunan ekonomi menerusi Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (Sabda) bakal menarik pelaburan RM1.9 bilion bagi memajukan Selangor utara khususnya di daerah ini.

Inisiatif ekonomi dalam daerah ini melibatkan enam projek baharu meliputi sektor-sektor seperti pertanian, perikanan, logistik, perniagaan dan pelancongan yang dibangunkan secara berfasa dan mula beroperasi bermula tahun hadapan hingga 2026.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebahagian daripada pembangunan Sabda adalah projek pembinaan pelabuhan perikanan serta kilang pemprosesan, pembungkusan tuna hiliran dan ikan laut dalam pertama negara.

Menurutnya, projek tersebut juga dilaksanakan bagi memastikan keterjaminan makanan pada jangka panjang di negara ini serta menyasarkan jaminan bekalan berterusan kepada pasaran tempatan dan menarik kira-kira RM600 juta pelaburan selain menawarkan sehingga 7,000 peluang pekerjaan.

“Matlamat utama adalah menyediakan penyelesaian yang mampan untuk memastikan keterjaminan makanan negara kekal berdaya tahan membolehkan petani dan perikanan berskala kecil meningkatkan pengeluaran tempatan, menyesuaikan diri dengan perubahan iklim secara lebih baik, membina rantaian makanan tempatan, dan mewujudkan serta menyokong pasaran tempatan dan peluang komersial.

“Inisiatif itu meningkatkan pengurusan industri perikanan dan bakal merealisasikan potensi kawasan pesisir pantai yang membantu melindungi ekosistem marin sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam membangunkan ekonomi biru,” katanya pada Majlis Pengenalan Sabda, hari ini.

Sabda merupakan salah satu daripada tiga zon pembangunan ekonomi Selangor yang merangkumi Pembangunan Bersepadu Wilayah Selangor Selatan (Idriss) dan Selangor Maritime Gateway (SMG) di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS1).

Pembangunan SABDA seluas 1,317 hektar membawa nilai pelaburan sebanyak RM1.9 bilion, iaitu kira-kira RM248 juta setahun dan dapat mencipta 3,600 peluang pekerjaan yang bergaji tinggi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd. Sidek memaklumkan, fasa pertama kedua-dua projek di bawah inisatif Sabda yang menumpukan kepada sektor perikanan dan pemprosesan, dijangka siap pada 2027.

“Jeti sedia ada akan dinaiktaraf bagi menampung sehingga 400 bot dan apabila siap ia dijangka meningkatkan kapasiti penangkapan ikan sebanyak 344 peratus dan industri pemprosesan makanan laut sebanyak 20 peratus dengan kerjasama syarikat Alpha Ocean Resources Berhad di Sekinchan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Pelabuhan pendaratan ikan bersepadu di Sekinchan dilengkapi dengan sistem kebolehkesanan komprehensif serta berupaya menjejaki asal usul, pemprosesan, dan pengedaran setiap produk ikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.