Rasuah: Bekas pegawai kanan MAFI diarah bela diri - Utusan Malaysia

Rasuah: Bekas pegawai kanan MAFI diarah bela diri

amang seksual
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas pegawai kanan kerajaan diarah bela diri oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah RM2.2juta berhubung perolehan tender baja, tiga tahun lalu. 

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Shahrulzaman Jaafar, 45, di akhir kes pendakwaan. 

“Setelah meneliti keterangan 36 saksi dan 228 eksibit serta dokumen berkaitan yang dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah berpuas hati bahawa elemen tersebut berjaya dibuktikan mempunyai prima facie. 

“Justeru, tertuduh diarah membela diri atas lima pertuduhan dihadapinya,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan sesi pembelaan selama dua hari bermula 25 Oktober depan.

Berdasarkan pertuduhan, Shahrulzaman semasa kejadian sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kanan (KPSUK) Kewangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) didakwa meminta rasuah sebanyak RM2 juta daripada seorang lelaki berusia 38.

Permintaan itu didakwa sebagai upah membantunya mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran kepada tiga syarikat iaitu Endona Corporation Sdn. Bhd, Qamari Consultancy Sdn. Bhd dan Borneo Natura Sdn. Bhd. berjumlah keseluruhannya RM118,165,171.65

Tertuduh juga didakwa empat pertuduhan menerima suapan keseluruhan RM225,000 daripada dua lelaki bagi tujuan sama itu termasuk kepada sebuah syarikat lain iaitu KIIK Resources Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Sepang antara Februari hingga September 2020. 

Justeru, dia didakwa bagi setiap pertuduhan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada prosiding itu, Peguam Ariff Azami Hussein mewakili tertuduh menyatakan pihaknya akan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh yang akan memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Shaiful Nasir dan Mohd. Alimi Mustapha. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya