Program Love Penang Agrofest 2023 berjaya raih lebih RM1 juta - Utusan Malaysia

Program Love Penang Agrofest 2023 berjaya raih lebih RM1 juta

NORLELA Ariffin ketika majlis perasmian penutup Love Penang Agrofest @ Pesta Mengkuang 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Love Penang Agrofest @ Pesta Mengkuang 2023 yang bermula dari 16 hingga 18 Jun berjaya meraih kutipan jualan melebihi RM1 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, program itu telah berhasil menarik lebih 50,000 pengunjung.

Menurutnya, ia merupakan kesinambungan daripada program anjuran kerajaan negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Penang Agrofest.

ANTARA buah durian yang dipertandingkan sempena Love Penang Agrofest @ Pesta Mengkuang 2023.

Tambahnya, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat keistimewaan serta menikmati sendiri kelazatan durian Musang King, Hati Merah, Ang Hae, Ho Lor dan Gan Ja serta duri hitam yang semuanya terdapat di Pulau Pinang dan menjadi pilihan utama rakyat pada masa kini.

“Selain itu, tahun ini pertandingan durian telah mencatatkan penyertaan seramai 118 peserta yang bertanding dalam kategori Pertandingan Durian Klon Terbaik 2023, Juara Antara Juara Durian Wilayah Utara, Pertandingan Durian Kampung Terbaik,Pertandingan Memasak Pengat Durian dan Jus Durian,” katanya.

Beliau berkata, Program Jualan Agrofest Rahmah turut diadakan bagi menyediakan barangan keperluan harian pada harga mampu milik.

Katanya, program itu diadakan bagi menghidupkan kembali ekonomi seluruh masyarakat setempat setelah berdepan pandemik sejak dua tahun lepas.

“Objektif utama program ini bagi memastikannya sampai secara terus kepada golongan sasar.

PAMERAN lembu sado yang berjaya memikat perhatian pengunjung.

“Ia sekali gus membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup,” jelas beliau.

Sementara itu beliau berkata, Pesta Mengkuang 2023 berjaya menghimpun 18 jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan terlibat dalam memperagakan hasil pameran.

Jelas Norlela, terdapat 40 sesi aktiviti menarik, malah kaunter khidmat masyarakat juga diwujudkan sepanjang tempoh program tersebut  berlangsung.

Dalam masa yang sama, kata beliau, seramai 45 usahawan tempatan turut terlibat dalam mempromosikan produk industri makanan masing-masing untuk ditawarkan kepada pengunjung.

Beliau menambah,selain itu terdapat juga pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti acara sukan rakyat, forum agama, sesi bersama Ikon Pemain Bolasepak Negara, Faisal Halim dan Kenduri Rakyat Keluarga Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN