PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka adakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak selepas hampir semua enam negeri mengumumkan tarikh cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Setakat ini, hanya Terengganu yang belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN. Bagaimanapun, ia akan terbubar dengan sendirinya pada 30 Jun ini.
Ia membabitkan seramai 9,781,416 pemilih bagi enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu dengan kos perbelanjaan pelaksanaan PRN di kesemua negeri itu kira-kira RM420 juta.
Angka itu adalah berdasarkan jumlah pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2023 yang diwartakan pada 22 Mei lalu kerana SPR hanya memuktamadkan jumlah pemilih terakhir sebelum tarikh PRN dilaksanakan yang akan diputuskan dalam mesyuarat khas pelaksanaan pilihan raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, daripada jumlah itu, Selangor merekodkan jumlah pemilih tertinggi iaitu 3,749,450 orang diikuti Kedah 1,585,690 orang; Kelantan 1,413,168 orang dan Pulau Pinang 1,235,326 orang.
Dua negeri mencatatkan pemilih di bawah satu juta pengundi ialah Terengganu sebanyak 931,654 orang dan Negeri Sembilan 865,128 orang.
“Segala persiapan berkaitan pilihan raya termasuk tarikh hari mengundi (sama ada akan dilaksanakan serentak enam negeri atau sebaliknya) akan ditentukan dalam Mesyuarat Khas Urusan PRN Ke-15 dengan mengambil kira pelbagai faktor untuk pertimbangan,” katanya di sini semalam.

Abdul Ghani turut memaklumkan, jumlah pemilih terkini keseluruhan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) yang diwartakan setiap bulan.
Menurut beliau, setakat DPT Bulan April (BLN4/2023), SPR merekodkan seramai 21,382,324 orang dengan jumlah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun ialah seramai 1,416,903 orang.
Jika mengambil kira jumlah itu, jumlah pengundi muda tersebut merangkumi kira-kira 6.6 peratus daripada keseluruhan pemilih yang berdaftar.
Sebagai congak kasar untuk dibandingkan dengan jumlah pemilih di enam negeri itu sebanyak 9,781,416 orang, ia meliputi kira-kira 645,573 orang pengundi muda dalam kalangan umur 18 hingga 20 tahun.
Setakat hari ini, Kelantan menetapkan tarikh 22 Jun untuk membubarkan DUN, diikuti Selangor 23 Jun; manakala Negeri Sembilan pada 28 Jun termasuk Kedah yang mencadangkan tarikh sama.
Pulau Pinang pula memilih tarikh akhir bulan ini iaitu pada 30 Jun untuk membubarkan DUN, selain Terengganu belum membuat apa-apa cadangan tarikh pembubaran.
Berdasarkan undang-undang pilihan raya dan Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas SPR terima tarikh pembubaran DUN.
Sebelum ini, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika semua enam negeri sepakat membubarkan DUN pada akhir bulan ini, maka kemungkinan SPR mengadakan mesyuarat pada minggu kedua Julai.
Jelas Wan Ahmad, tempoh kempen paling sesuai ditetapkan 11 hari dan PRN dijangka berlangsung pada akhir Julai atau awal Ogos atau paling lewat pada pertengahan Ogos kerana perlu diselesai sebelum Hari Kebangsaan 31 Ogos.
Ini kerana pasukan ke-selamatan perlu melakukan persiapan menjelang Hari Kebangsaan 31 Ogos.
Selain itu, tarikh penerba-ngan balik terakhir jemaah haji juga perlu diambil kira SPR untuk memberi peluang pengundi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi. Mengikut maklumat Lembaga Tabung Haji, tarikh penerbangan balik akhir jemaah haji ialah pada 2 Ogos 2023. – UTUSAN










