Polis Evo 3 rekod RM41.3 juta dalam 12 hari - Utusan Malaysia

Polis Evo 3 rekod RM41.3 juta dalam 12 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Filem Polis Evo 3 melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip RM41.3 juta dalam tempoh 12 hari tayangan.

Perkembangan itu sekali gus menjadikan filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures sebagai filem nombor satu kutipan tertinggi bagi tahun ini di Malaysia.

Pada masa sama, Polis Evo 3 juga berjaya mengenepikan francais-francais besar antarabangsa yang pernah mendominasi kutipan tertinggi di pawagam tanah air.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan pencapaian luar biasa filem itu setakat ini.

Meskipun banyak filem baharu dari francais popular Hollywood di pawagam ketika ini, namun, katanya, karya tempatan masih mampu memberi saingan sengit.

“Kejayaan ini terhasil daripada sokongan penonton, mereka adalah faktor utama dalam gelombang fenomena Polis Evo 3.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pihak pawagam yang banyak memberi sokongan, rakan-rakan media yang memberikan liputan meluas serta semua penonton Polis Evo 3 seluruh Malaysia serta barisan pelakon yang memberikan komitmen tinggi dalam mempromosikan filem ini,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Untuk rekod, filem Polis Evo 2 berjaya meraih RM23 juta dalam tempoh 44 hari tayangan serta Polis Evo yang mula menjengah pawagam pada 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan pecah panggung melebihi RM18 juta.

Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Polis Evo 3 mengisahkan Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi baharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN