SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju membentuk jentera pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) secara bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menerusi kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha PH Negeri Sembilan, Cha Kee Chin dan Setiausaha BN Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi semalam, persetujuan berkenaan hasil mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Kerja Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan Menghadapi PRN-15 yang diadakan Isnin lalu.
“Kedua-dua gabungan bersetuju memastikan kemenangan gabungan parti kerajaan perpaduan dalam PRN dan membentuk jentera pilihan raya peringkat DUN secara bersama.
“Kedua-dua gabungan akan melantik penyelaras di setiap DUN untuk memudahkan kesiapsiagaan jentera bersama dan akan memberikan komitmen secara menyeluruh jentera semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk memaksimumkan kekuatan di kesemua 36 kerusi,” kata kenyataan tersebut.
Tambahnya, kesiapsiagaan di semua peringkat tersebut kini ke arah mendapat sokongan dan mandat pengundi di Negeri Sembilan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan. – UTUSAN










