Pertuduhan cacat: Ibu, bapa tiri dilepaskan tanpa dibebaskan

Pertuduhan cacat: Ibu, bapa tiri dilepaskan tanpa dibebaskan cuai jaga anak

S. NAGENDRAN dan isterinya, A. Sangeetha dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan pindaan bertindak cuai ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, April lalu.- UTUSAN/RAJA JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pindaan bertindak cuai ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, hujung April lalu.

Hakim, Datuk Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu terhadap S. Nagendran dan isterinya, A. Sangeetha, masing-masing berusia 23 tahun selepas mereka mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pada 3 Mei lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan mencapai niat bersama menganiayai kanak-kanak yang berada di bawah pemeliharaan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman, namun, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar mengemukakan pertuduhan pindaan.

Kedua-dua tertuduh kemudian mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi pertuduhan pindaan tersebut.

Kamal Arifin dalam penghakimannya memaklumkan, kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan kerana terdapat kecacatan dalam pertuduhan kerana terdapat kependuaan  menyebabkan pertuduhan tidak boleh dipertahankan.

Mengikut kertas pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa dengan mencapai niat bersama telah bertindak secara cuai terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang berada di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Blok H, Apartmen Skudai Villa, di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 28 April lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mangsa merupakan anak kandung kepada tertuduh wanita dan anak tiri bagi tertuduh lelaki. Pasangan tersebut diwakili peguam  bela, Tuan Nur Izza Natasha Tuan Rosidi.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya