Warga emas tak mengaku salah langgar dua beradik hingga maut

Warga emas tak mengaku salah langgar dua beradik hingga maut

Langgar dua beradik maut
ANG Kim Lai dibawa polis ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan dua beradik maut pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Ang Kim Lai, 75, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam Bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, Kim Lai didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Wong Nyok Sim, 62 dan adiknya Wong Nyoke Fong, 57 kira-kira pukul 7.30 malam pada 15 Mei lalu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat Jalan Pekan Baru, di sini. Justeru, dia yang tidak lagi bekerja itu didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 2021 yang hukuman penjara sehingga lima tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli kemudian mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam mewakili Kim Lai, Tong Kuan ling memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang minimum kerana anak guamnya sudah berusia dan ditanggung oleh menantunya dengan pendapatan sebanyak RM3,500.

“Kim Lai adalah seorang pesara swasta. Dia kini tinggal dengan lima orang anak dan mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis. Salah seorang menantunya menjadi penjamin tertuduh,” katanya.

Majistret A. Khartiyayini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 4 Ogos ini bagi serahan dokumen, laporan forensik dan kimia.

Utusan Malaysia minggu lalu melaporkan dua beradik maut sementara seorang anak salah seorang mangsa berusia 17 tahun tercedera selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di lokasi berkenaan.

Susulan insiden tersebut, polis mengesan pemandu SUV jenis Mazda CX5 itu dan menahannya warga emas terbabit dua hari kemudian dekat sebuah restoran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN