Perlis United ikat Zafuan Azeman, sasar layak Piala Malaysia - Utusan Malaysia

Perlis United ikat Zafuan Azeman, sasar layak Piala Malaysia

MUHAMMAD Zafuan Azeman (dua dari kanan) menunjukkan jersi Perlis United selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Pada Jendela Perpindahan Kedua 2023 di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri (MSN), Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dalam usaha memperkemaskan jentera serangan, Perlis United FC (PUFC) mengikat bekas penyerang skuad kebangsaan bawah 19 tahun, Muhammad Zafuan Azeman sekali gus bakal memantapkan lagi pasukan mengharungi saingan Liga M3.

Muhammad Zafuan,23, yang berjaya membantu kelabnya, Uthai Thani FC menduduki tempat ketiga dalam saingan Liga 2 Thailand sekali gus layak ke Liga 1 Thailand musim depan mengambil keputusan kembali semula ke tanah air untuk bersama PUFC bagi membantu pasukan berkenaan yang mengharungi Liga M3 ketika ini.

Muhammad Zafuan berkata, dia mempunyai misi jelas bagi membantu PUFC untuk berada pada kedudukan tiga pasukan terbaik dalam saingan Liga M3 kali ini disamping menambah rekod minit perlawanan peribadi.

“Sebelum ini, saya banyak membuang masa apabila dibayangi kecederaan, masalah dalaman pasukan dan kesukaran untuk menembusi kesebelasan utama.

“Jadi apabila dapat menyertai PUFC, ia menjadi motivasi bagi membuatkan saya menjadi lebih berdaya saing terutama dalam merebut kesebelasan utama dalam pasukan ini,” katanya pada majlis menandatangani kontrak pemain pada jendela perpindahan kedua 2023 di bilik mesyuarat Majlis Sukan Negeri (MSN) di sini semalam.

Hadir sama, Presiden PUFC, Shukri Othman; Pengurus PUFC, Ku Hasnol Farid Ku Abdul Rahman dan jurulatih PUFC, Azhar Abdul Rahman.

Muhammad Zafuan yang merupakan anak kelahiran Kangar pernah bermain bersama Anthong FC dalam saingan Liga Thailand pada musim 2019 dan 2020.

Selain itu, dia juga pernah mewakili pasukan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, PKNP FC dan Kelantan United dalam saingan liga tempatan sebelum ini.

Dalam pada itu, Muhammad Zafuan berkata, dia juga akan berusaha untuk mengembalikan semula tempo permainan seperti mana sewaktu bersama kelab diwakilinya sebelum ini.

“Jika dilihat Liga M3 tiada tenaga import jadi sudah tentu saya berpeluang untuk berbakti kepada kelab negeri kelahiran saya sendiri bagi memberikan persembahan terbaik yang pernah ditampilkan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, kehadiran Muhammad Zafuan dalam pasukan itu bakal menguatkan lagi barisan serangan PUFC dalam meraih kedudukan terbaik bagi melayakkan diri ke saingan Liga Super musim hadapan.

Katanya, bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan pasukan adalah bagi mendapat kedudukan tempat enam terbaik dalam melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia.

“Pada waktu ini, kita berada dalam landasan terbaik untuk mencapai sasaran untuk layak ke Piala Malaysia dan kita akan mencuba sebaik mungkin bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai terutama dengan kehadiran Muhammad Zafuan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya