Perlis catat SPM terbaik dalam sejarah - Utusan Malaysia

Perlis catat SPM terbaik dalam sejarah

AYUB Ahmad (tiga dari kiri) meraikan calon-calon SPM yang memperolehi keputusan SPM di SMK Kuala Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Perlis merekodkan sejarah tersendiri apabila menunjukkan peningkatan indeks Gred Purata Negeri (GPN) tertinggi dengan meraih sebanyak 4.82 mata.

Peningkatan GPN tersebut juga lebih tinggi berbanding tahun 2021 yang hanya merekodkan 4.99 mata dengan jurang sebanyak 0.17 mata.

Malah, seramai 47 calon SPM meliputi jumlah 1.61 peratus di negeri ini berjaya memperolehi keputusan cemerlang (Gred A+, A, dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 39 calon pada tahun 2021.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) negeri, Ayub Ahmad berkata, pencapaian yang diraih itu adalah merupakan hasil usaha para guru dan pelajar di negeri ini dalam memastikan pencapaian cemerlang itu.

“Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik di sesebuah negeri dan ini merupakan hasil usaha berterusan para guru yang bergerak laju dalam pengajaran.

“Kombinasi di mana guru sendiri menunjukkan komitmen tinggi dan pelajar pula menyedari mereka harus berusaha telah mendorong kepada peningkatan pencapaian indeks GPN di negeri ini,” katanya pada majlis pengumuman keputusan SPM 2022 peringkat negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis di sini hari ini.

Tambah Ayub, bilangan calon mendaftar menduduki SPM 2022 adalah seramai 3,569 berbanding 3,597 pada tahun 2021.

“Kadar peratusan pelajar lulus berbanding tahun 2021 juga menunjukkan peningkatan sebanyak 4.98 peratus.

“Jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar di negeri ini juga meningkat sebanyak 0.06 mata bagi Gred Purata Sekolah (GPS) di mana kali ini merekodkan sebanyak 0.92 berbanding 0.86 pada tahun 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Ayub berkata, kaedah pembelajaran secara fizikal dan dalam talian sememangnya membantu calon-calon SPM di negeri ini meraih keputusan cemerlang sekali gus menyumbang kepada peningkatan GPN.

Katanya, pendekatan pembelajaran dalam talian membolehkan pelajar mengikuti kelas tambahan khususnya di luar sesi persekolahan.

“Gabungan kelas fizikal dan dalam talian ini membolehkan kita terus meningkatkan prestasi pelajar dari tahun ke tahun dan inilah merupakan antara faktor kejayaan mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya