PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Batu Arang – Rawang dekat sini, semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 9.30 malam itu membabitkan sebuah motosikal, dua buah kereta dan sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki warga India berusia 42 tahun menunggang sebuah motosikal di lorong kanan dari arah Batu Arang menghala ke Rawang.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, datang sebuah kereta dari arah bertentangan masuk ke laluan mangsa dan bertembung dengan motosikal ditunggangnya.
“Kereta tersebut turut melanggar sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun di bahagian belakang.
“Terdapat sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun tidak sempat mengelak melanggar kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, pemandu kenderaan yang melanggar mangsa telah melarikan diri dan didapati belum tampil untuk membuat laporan polis.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan.
“Pemandu kereta dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Norazlan Noorudin di talian 019-7974466 atau IPD Gombak di talian 03-612622.- UTUSAN










