Saya bukan membenarkan perbuatan Harris - Intan Ladyana - Utusan Malaysia

Saya bukan membenarkan perbuatan Harris – Intan Ladyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Intan Ladyana, menafikan dakwaan kononnya dia membenarkan perbuatan suaminya, penyanyi, Harris Alif, yang didakwa berlaku curang susulan perbualan romantis bersama seorang wanita dalam sebuah permainan video.

Intan atau Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, 44, menegaskan dia tidak pernah membela perbuatan suaminya, sebaliknya memilih untuk berbincang secara baik mengenai isu berkenaan.

“Sebagai isteri, saya bukan membenarkan perbuatan Harris. Apa yang salah tetap salah dan yang betul tetap betul. Kita kena tahu batas masing-masing.

“Insya-Allah perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Intan berkata demikian ketika ditemui pada majlis Macam-Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Intan memaklumkan dia tidak menetapkan sebarang syarat agar Harris berhenti bermain permainan video, sebaliknya percaya suaminya mampu mengambil pengajaran daripada kesilapan tersebut.

“Tiada syarat diletakkan. Saya tahu batas saya dan dia juga tahu batasnya. Tidak bolehlah terlalu mengawal, tetapi masing-masing perlu ada kesedaran diri.

“Walaupun dalam permainan video atau lakonan, kita tetap perlu tahu batas. Kefahaman itu penting,” ujarnya.

Dalam pada itu, Intan mengakui tidak mengetahui mengenai dakwaan tersebut sebelum ini dan hanya dimaklumkan selepas video berkenaan tular di media sosial.

“Saya tidak kenal wanita itu kerana saya tidak bermain permainan video. Permainan apa pun saya tidak tahu.

“Hanya selepas isu ini tular, barulah saya dimaklumkan. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mereka sendiri perlu menilai apa yang dilakukan itu betul atau salah,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa klip video memaparkan Harris berinteraksi dengan nada yang dianggap romantis terhadap seorang wanita ketika sesi penstriman langsung permainan video.

Situasi itu mengundang reaksi peminat yang mempertikaikan tindakannya, selain mendakwa berlaku curang.

Bagaimanapun, Harris tampil menjelaskan dialog tersebut hanyalah sebahagian daripada watak ‘Tommy’ dalam dunia lakonan roleplay (RP). Tegasnya, di luar dunia kandungan digital, beliau kekal sebagai seorang suami dan bapa.

Untuk rekod, Harris dan Intan mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata, Evie Khadeeja dan Harris Umayr. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN