IPOH: Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya tidak membuat penyataan awam dalam media sosial yang memalukan atau memburukkan kerajaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, sehubungan itu penjawat awam harus peka dengan penggunaan media sosial tanpa batasan dan kawalan emosi.
Menurutnya, ini kerana tindakan tersebut akan menimbulkan implikasi negatif sekaligus mengganggu tumpuan terhadap tugas hakiki yang dipertanggungjawabkan.
“Bagi penjawat awam, mereka tidak terlepas daripada menjadi sasaran kritikan rakyat. Dalam pada masa yang sama, ada juga penjawat awam sendiri yang menggunakan media sosial sebagai ruang melampiaskan kata-kata jelik atau melontarkan kecaman atau sindiran terhadap kerajaan.
“Perkara seperti ini wajar ditangani dan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam dilarang untuk membuat penyataan awam yang memalukan atau memburukkan kerajaan secara lisan mahupun bertulis,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 2022 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyampaikan anugerah kepada penerima.
Menurut Ahmad Suaidi, seiring dengan pertumbuhan kemajuan teknologi yang pesat dan membolehkan sesiapa sahaja mendapat pelbagai maklumat dengan hanya hujung jari, penjawat awam harus berwaspada dengan setiap maklumat atau informasi yang didapati itu tidak semestinya betul dan tepat.
“Tidak dapat dinafikan, media sosial khususnya seperti Facebook, Whatsapp, Twitter, Instagram dan banyak lagi menjadi medium penting yang mampu menjadi punca dalam mempengaruhi reaksi masyarakat serta membangkitkan impak positif atau negatif terhadap pelaksanaan dasar yang dilakukan oleh kerajaan.
“Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak serta berintegriti dalam meningkatkan produktiviti serta kualiti kerja kerana dengan medium tersebut pelbagai informasi dan maklumat mampu dicapai bagi meningkatkan pengetahuan dan membentuk intelektual diri,” katanya.
Sementara itu, pada majlis tersebut, seramai 67 orang penerima iaitu 60 dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan tujuh dari Pejabat Kewangan Negeri Perak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022.
Ahmad Suaidi berharap pengiktirafan yang diberikan itu diharap akan memberi kesan serta dorongan ke arah membudayakan kecemerlangan dalam semua aspek serta menjadi suntikan semangat untuk terus berkhidmat dengan lebih dinamik, dedikasi, berintegriti dan iltizam yang tinggi. – UTUSAN










